AM

Duta Besar Yaman Daftar Sebagai Pelajar PhD Di USIM

24/09/2025 01:31 PM

NILAI, 24 Sept (Bernama) -- Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menerima Duta Besar Republik Yaman ke Malaysia Dr Adel Mohamed Ali Ba Hamid sebagai pelajar baharu pengajian Doktor Falsafah (PhD) dalam Pengurusan Sumber Manusia di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP).

Naib Canselor USIM Prof Datuk Dr Sharifudin Md Shaarani berkata pendaftaran rasmi beliau diadakan di Dewan Tuanku Canselor (DTC) sempena Hari Pendaftaran Pelajar Baharu Siswazah Semester 1 Sesi Akademik 2025/2026 bersama 494 pelajar lain bermula semalam.

“Kemasukan Dr Adel membuktikan USIM terus diyakini terutamanya pelajar antarabangsa. Kehadiran seorang duta besar sebagai pelajar PhD di universiti ini adalah sesuatu yang membanggakan dan kami percaya pengajian beliau akan memberi nilai tambah bukan sahaja kepada dunia akademik tetapi juga hubungan Malaysia dan Yaman,” katanya.

Sementara itu, Adel Mohamed, 52, berkelulusan perubatan dari Universiti Aden, Yaman dan memiliki Sarjana Perubatan Komuniti dan Kesihatan Awam berkata pemilihan USIM sebagai institusi menyambung pengajian didorong kekuatan universiti itu dalam mengintegrasikan ilmu Naqli dan Aqli.

“Saya yakin suasana akademik di sini akan membantu saya menghasilkan penyelidikan yang bermanfaat untuk masyarakat Yaman, Malaysia dan dunia Islam,” katanya.

Sementara itu, USIM turut menerima pendaftaran pelajar wanita Israt Jihan Umme, 20, dari Dhaka, Bangladesh yang mengikuti program Sarjana Muda Sains Komputer (Keselamatan dan Jaminan Maklumat) Fakulti Sains dan Teknologi pada sesi kali ini.

Anak sulung daripada dua beradik itu tiba di Malaysia pada 15 Sept lepas dan menjadi harapan keluarga untuk melanjutkan pengajian ke luar negara.

Kehadiran adik beradik kembar dari Palestin, Mohamed Tariq Mansour Wafi dan Mansour Tariq Mansour Wafi masing-masing berusia 19 tahun, turut mencuri perhatian apabila mereka mendaftar sebagai pelajar baharu program Sarjana Muda di universiti berkenaan.

Mohamed Tariq mengikuti pengajian Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dengan Kepujian di Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) manakala Mansour Tariq pula memilih bidang Sains Komputer (Keselamatan dan Jaminan Maklumat) di Fakulti Sains dan Teknologi (FST).

Mereka berkata Malaysia menjadi pilihan kerana persekitaran yang hijau dan tenang sekali gus menjadikannya destinasi ideal untuk menimba ilmu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan