AM

Anwar Sampaikan Ucapan Bersejarah Di Parlimen Timor-Leste, Bertemu GusmÃo

24/09/2025 09:17 AM

Daripada V. Sankara 

DILI (TIMOR-LESTE), 24 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi penghormatan menyampaikan ucapan bersejarah di Parlimen Timor-Leste pada hari kedua lawatan rasmi beliau hari ini.

Anwar disambut Presiden Parlimen Nasional Timor-Leste, Maria Fernanda Lay pada 8.55 pagi untuk pertemuan ringkas di Pejabat Presiden di sini, sebelum menyampaikan ucapannya pada 9 pagi.

Ucapan itu dianggap satu penghormatan istimewa yang mencerminkan kehangatan serta keyakinan yang semakin meningkat dalam hubungan dua hala antara Malaysia dan Timor-Leste.

Pada 10 pagi, Perdana Menteri meneruskan jadual di Istana Kerajaan bagi mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatnya, Perdana Menteri Kay Rala Xanana Gusmão.

Sesi berkenaan turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) diikuti sidang media bersama pada 11 pagi.

Pada 11.30 pagi, berlangsung acara ekonomi penting dengan pelancaran projek pembangunan Pusat Konvensyen Antarabangsa (ICC) di Pelabuhan Dili, yang dijangka meningkatkan keupayaan Timor-Leste menganjurkan acara antarabangsa berskala besar.

Anwar akan mengadakan sidang media bersama media Malaysia pada 12.30 tengah hari, sebelum berangkat ke Istana Presiden bagi menyampaikan Syarahan Presiden dan menghadiri Majlis Penganugerahan pada 2 petang.

Dalam majlis di China Hall itu, Anwar akan dikurniakan Grand Collar of the Order of Timor-Leste, iaitu anugerah sivil tertinggi negara tersebut.

Perdana Menteri dijadual berlepas pulang ke Kuala Lumpur pada 3.30 petang waktu tempatan, sekali gus mengakhiri lawatan rasmi dua hari — yang juga lawatan pertama oleh seorang pemimpin Malaysia ke Timor-Leste dalam tempoh 22 tahun.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan