EKONOMI

Pengiktirafan EU Terhadap MSPO Bakal Lonjak Perdagangan, Kurangkan Halangan Pematuhan

11/09/2025 05:14 PM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) -- Pengiktirafan Kesatuan Eropah (EU) terhadap pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) merupakan satu pencapaian penting dalam mengurangkan halangan pematuhan bagi pengeksport Malaysia, kata Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC).

Ketua Pegawai Eksekutif MPOC Belvinder Kaur Sron berkata langkah itu juga memudahkan aliran perdagangan serta memberi manfaat kepada pekebun kecil dan pengeluar berskala besar.

Beliau berkata pengiktirafan tersebut dijangka dapat mengukuhkan akses pasaran, meningkatkan keyakinan pengguna, dan menggalakkan kerjasama antarabangsa yang lebih luas dalam perdagangan bebas penyahutanan.

“Kami berbesar hati kerana MSPO kini diiktiraf secara rasmi dan kekal yakin bahawa Malaysia juga akan dinilai sebagai negara berisiko rendah melalui proses sewajarnya oleh EU, disokong oleh bukti bahawa kadar kehilangan hutan asli negara menurun sebanyak 70 peratus dalam tempoh sedekad lepas, menurut World Resources Institute.

“Pengiktirafan ini mengukuhkan lagi kredibiliti MSPO sebagai standard kemampanan yang kukuh dan memastikan ia seiring dengan Peraturan Penebangan Hutan EU (EUDR),” katanya kepada Bernama.

Semalam, Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani mengumumkan bahawa EU secara rasmi mengiktiraf pensijilan MSPO sebagai satu standard kemampanan yang berwibawa, lengkap dengan sistem keterkesanan digital bertaraf tinggi yang mampu membantu penggiat industri mematuhi EUDR.

Pengiktirafan itu mengesahkan kepimpinan Malaysia dalam minyak sawit mampan memandangkan MSPO memberikan jaminan terhadap aspek pematuhan undang-undang, pematuhan tarikh penetapan, dan keterkesanan digital, selain memastikan lebih 500,000 pekebun kecil turut terlibat sepenuhnya dalam agenda kemampanan.

Mengulas lanjut, Belvinder berkata pengiktirafan EU telah mengangkat MSPO daripada mandat kebangsaan kepada penanda aras yang diterima di peringkat antarabangsa.

“Pengiktirafan di bawah EUDR ini meletakkan akses pasaran menjadi kelebihan kompetitif baharu bagi pemain industri.

“Langkah ini turut merapatkan jurang persepsi terhadap piawaian global, meningkatkan kredibiliti serta memberikan insentif kukuh, terutamanya kepada estet dan pekebun kecil, untuk mempercepatkan pematuhan menerusi jaminan akses perdagangan dan kelestarian jangka panjang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Malaysia akan terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh sistem keterkesanan menerusi sistem keterkesanan nasional dan integrasi digital pekebun kecil, menambah baik integriti data serta pengesahan pihak ketiga dalam audit, dan mengekalkan libat urus aktif dengan pihak berkepentingan EU.

“Pelaburan berterusan dalam teknologi dan pembangunan kapasiti pekebun kecil akan memperkukuh lagi kredibiliti, keterangkuman dan penjajaran MSPO dengan prinsip kemampanan global, sekali gus memposisikan MSPO sebagai satu standard antarabangsa yang diyakini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan