EKONOMI

Indonesia Seru ASEAN Manfaatkan Semangat Gotong-Royong Tangani Cabaran Geopolitik

23/09/2025 05:07 PM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Indonesia menyeru negara-negara anggota ASEAN supaya memanfaatkan semangat gotong-royong sebagai penyelesaian untuk memperkukuh kerjasama dalam meredakan ketegangan geopolitik yang semakin memuncak di rantau ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Indonesia Dyah Roro Esti Widya Putri berkata mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) yang baru sahaja selesai termasuk Majlis Kawasan Pelaburan ASEAN (AIA) dan Majlis Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) boleh menjadi platform penting bagi menangani dan mengurangkan cabaran sedemikian.

Katanya pendekatan sedemikian yang boleh dikatakan sebagai "ASEAN Way” atau pendekatan tersendiri ASEAN adalah penting untuk memperkukuh kerjasama dalam menghadapi situasi geopolitik yang semakin mencabar.

“Kami berharap kerjasama yang lebih baik akan wujud dalam kalangan negara ASEAN terutama dengan memanfaatkan platform ini bagi memastikan terdapat perbincangan dan semangat yang mencukupi untuk terus bekerjasama dalam semangat gotong-royong ini.

"Perkara ini sangat penting untuk kita mengharungi keadaan geopolitik semasa," katanya kepada Bernama di luar mesyuarat Majlis AIA ke-28 di sini hari ini, yang diadakan bersempena AEM ke-57 dan mesyuarat berkaitan.

Dyah berkata memanfaatkan ASEAN Way boleh menjadi pemacu dalam mengemudi kemajuan masa depan.

Terdahulu, para menteri telah menghadiri Mesyuarat Majlis AFTA ke-39 dan Majlis AIA ke-28 bagi membincangkan isu-isu ekonomi serantau dan global, menilai pencapaian ekonomi serantau serta meninjau kaedah untuk mengembangkan kerjasama ekonomi dalam kalangan negara anggota.

Sementara itu, semasa Mesyuarat Majlis AFTA, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata blok ASEAN akan meningkatkan usaha memperdalam integrasi ekonomi serantau dan menggiatkan semula perdagangan intra-ASEAN, yang kini pada tahap kira-kira 20 hingga 22 peratus.

Dengan mempunyai hampir 700 juta penduduk, beliau berkata ASEAN adalah antara pasaran pengguna terbesar dan paling dinamik di dunia serta mempunyai banyak potensi.

Semasa Mesyuarat Majlis AIA pula, Tengku Zafrul berkata walaupun menghadapi ketidaktentuan global yang berterusan, ASEAN terus mengekalkan kekuatan uniknya dengan menarik pelaburan langsung asing (FDI) yang besar khususnya dalam sektor seperti pendigitalan, tenaga lestari, pembuatan bernilai tinggi dan perkhidmatan kewangan.

Tengku Zafrul berkata aliran masuk FDI ke ASEAN meningkat sembilan peratus pada 2024 kepada US$226 bilion (US$1 = RM4.20).

Beliau berkata jumlah itu membentuk 15 peratus daripada aliran masuk FDI global sekali gus mengekalkan kedudukan ASEAN sebagai penerima FDI tertinggi dalam kalangan rantau yang sedang membangun bagi empat tahun berturut-turut.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan