PUTRAJAYA, 23 Sept (Bernama) -- Malaysia mengorak langkah baharu dengan menembusi pasaran Asia Tengah apabila francais tempatan dibawa ke Kazakhstan sebagai gerbang strategik ke Eurasia.
Ia merupakan langkah yang dijangka melonjakkan nilai eksport, menarik pelaburan asing serta mewujudkan lebih banyak pekerjaan bernilai tinggi.
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dalam satu kenyataan hari ini berkata inisiatif berkenaan dilaksanakan melalui Misi Perdagangan Khas ke Almaty, Kazakhstan yang dianjurkan dengan kerjasama Perbadanan Nasional Bhd (Pernas), SME Corp. Malaysia serta Persatuan Francais Malaysia (MFA).
Katanya, misi berkenaan menghimpunkan beberapa jenama francais terkemuka negara dengan lebih 50 sesi padanan perniagaan berjaya diatur bersama 30 syarikat tempatan berpotensi di Kazakhstan.
Program itu turut merangkumi sesi dialog perniagaan, perkongsian pengalaman bersama penggiat industri francais tempatan serta tinjauan pasaran bagi meneroka peluang dan amalan terbaik di rantau ini.
Menurut kenyataan itu, pelaksanaan misi di bawah Program Pengukuhan Francais bagi Meningkatkan Eksport (EFDP) selari dengan aspirasi Dasar Francais Negara 2030 (DFN2030) dan hala tuju Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang memberi penekanan kepada peningkatan daya saing francais Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Pasaran Asia Tengah khususnya Kazakhstan, dipilih sebagai destinasi baharu kerana kedudukannya yang strategik sebagai pintu masuk ke Eurasia, disokong dasar mesra pelaburan termasuk insentif cukai, pengecualian kastam dan perlindungan undang-undang pelabur.
“Pertumbuhan sektor perkhidmatan, peningkatan kuasa beli masyarakat bandar serta sokongan kerajaan terhadap model francais turut menjadikan negara ini pasaran yang menarik, khususnya dalam bidang makanan dan minuman, pendidikan serta industri kreatif,” menurut KUSKOP.
Selain itu, katanya hubungan erat Malaysia dan Kazakhstan serta persamaan budaya Islam membuka peluang besar kepada penerimaan produk halal, pendidikan dan gaya hidup mesra Islam.
Sementara itu, Pernas di dalam kenyataan sama menegaskan komitmennya memperkukuh peranan sebagai pemudah cara utama bagi menyokong peluasan francais Malaysia secara mampan sekali gus mengukuhkan kedudukan negara sebagai hab francais serantau.
MFA pula berkata misi tersebut mencerminkan komitmen kerajaan melahirkan lebih banyak pemain francais bertaraf dunia seiring aspirasi DFN2030 dan perancangan RMK13 untuk menjadikan Malaysia Hab Francais ASEAN menjelang 2030.
“Misi perdagangan khas ini diyakini akan memperkukuh jaringan dagang dua hala serta membuka ruang lebih luas bagi francais Malaysia menembusi pasaran Asia Tengah dan seterusnya global,” tambah KUSKOP.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial