AM

Rumah Ibadat Cerminan Harmoni, Potensi Destinasi Pelancongan Budaya

23/09/2025 03:49 PM

SEREMBAN, 23 Sept (Bernama) -- Pembangunan rumah ibadat perlu diperkukuh sebagai antara fokus utama dalam usaha menjadikan ia destinasi pelancongan selaras dengan matlamat memperkasa pelancongan budaya serta menonjolkan keharmonian masyarakat majmuk Malaysia kepada dunia.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Seri Tiong King Sing berkata sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama, kementerian mahu mempromosikan semua agama dan budaya kepada pelancong luar negara.

Beliau berkata usaha ini bukan sekadar memperkenalkan lokasi menarik tetapi juga memperlihatkan kekuatan negara dalam aspek perpaduan terutamanya bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

"Lawatan saya ke tokong ini adalah satu langkah untuk menjadikan tempat ini sebagai destinasi pelancongan, agar pelancong dapat melihat sendiri keharmonian dan kepelbagaian unik Malaysia.

“Kita mahu buktikan kepada dunia bagaimana Malaysia mampu hidup bersatu secara harmoni walaupun berlatarbelakangkan pelbagai budaya dan agama. Setiap rumah ibadat, setiap komuniti, ada nilai dan sejarah tersendiri yang boleh diketengahkan sebagai tarikan pelancongan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat ke Tokong Zhi Yuan Tang di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Sembilan Nicole Tan.

Tiong berkata promosi pelancongan budaya ini juga merupakan sebahagian daripada idea Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memastikan warisan dan budaya tempatan tidak disia-siakan.

Beliau berkata inisiatif ini dijangka dapat memperkasakan pelancongan berasaskan komuniti serta memberi manfaat ekonomi kepada kawasan setempat, sambil menyemai rasa saling hormat antara rakyat pelbagai latar belakang.

Sementara itu, Tiong menerusi laman Facebooknya berkata lawatan ke negeri ini antara lain adalah membincangkan secara menyeluruh pelbagai aspek pembangunan dan pemerkasaan sektor pelancongan, seni dan budaya di negeri Adat Perpatih ini.

"Antaranya ialah penyelenggaraan fasiliti pelancongan seperti Muzium Tentera Darat dan Pusat Ikan Hiasan di Port Dickson. Ini bagi menyokong kelestarian fasiliti serta menjana sumber kewangan baharu untuk sektor pelancongan negeri," katanya.

Beliau berkata turut dibincangkan acara dan festival berskala besar di negeri ini seperti NS Fest, Perpatih Fest, acara sukan rakyat Bola Ngoca yang mampu merancakkan landskap pelancongan negeri ini.

Dalam pada itu, Nicole berkata kerjasama erat dengan MOTAC sedang dirangka untuk memperkasa potensi pelancongan sedia ada terutamanya dalam persiapan Tahun Melawat Negeri Sembilan (TMNS) 2026.

“Mengikut sasaran kerajaan negeri, 60 peratus pelancongan tertumpu kepada pantai, 30 peratus ekopelancongan dan 10 peratus warisan. Ini akan memberi nilai tambah kepada pakej pelancongan negeri dengan menonjolkan sembilan identiti unik Negeri Sembilan,” katanya.

Beliau berkata terdapat lebih 200 lokasi menarik di negeri ini berpotensi untuk diketengahkan, dan pihaknya akan menyusun takwim pelancongan TMNS 2026 bersama MOTAC. 

Dalam perkembangan lain, Tiong turut mengulas cadangan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menukar nama Pantai Port Dickson disifatkan sebagai tidak perlu kerana nama tersebut sudah sinonim dan dikenali ramai, termasuk di peringkat antarabangsa.

Tiong secara peribadi berpandangan nama Port Dickson tidak wajar ditukar, memandangkan selepas lebih enam dekad ia menjadi jenama pelancongan yang kukuh di negara ini.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan