JENAYAH & MAHKAMAH

Pendakwaan Rayu Perintah Benar Na’imah Semak Keputusan Rujuk Persoalan Undang-undang

23/09/2025 01:55 PM

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Pendakwaan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Toh Puan Na’imah Abdul Khalid untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang menolak permintaannya merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan berhubung pertuduhan gagal mengisytiharkan harta.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata pihaknya turut memfailkan permohonan agar prosiding itu digantung mengikut Seksyen 30(2) dan 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 sehingga rayuan pendakwaan didengar dan diputuskan di Mahkamah Rayuan. 

"Pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan tersebut pada 27 Ogos lepas di Mahkamah Rayuan. Sepatutnya pihak-pihak berhujah berhubung prosiding penangguhan hari ini," katanya kepada media selepas prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi K. Muniandy.

Pada prosiding hari ini, Muniandy menetapkan 8 Okt ini untuk mendengar permohonan penangguhan sebelum mendengar prosiding merumuskan persoalan yang akan dirujuk ke Mahkamah Persekutuan dan mengarahkan pemohon memfailkan afidavit balasan pada atau sebelum 29 Sept lepas.

Terdahulu, Wan Shaharuddin memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya baru menerima afidavit balasan daripada pihak responden pada Jumaat lepas dan memohon supaya tarikh pendengaran bagi penggantungan prosiding yang baharu ditetapkan.

Peguam Datuk Dr Gurdial Singh Nijar, yang mewakili Na'imah, pula berkata pihaknya sudah bersedia untuk meneruskan pendengaran permohonan penangguhan kerana perkara itu tidak membabitkan fakta sebaliknya hanya persoalan undang-undang.

Pada 21 Ogos lepas, Muniandy yang membenarkan permohonan Na'imah mendapati persoalan yang dibangkitkan balu bekas Menteri Kewangan Allahyarham Tun Daim Zainuddin itu bukan remeh atau penyalahgunaan proses mahkamah sebagaimana diputuskan oleh Mahkamah Sesyen.

Pada 23 Jan 2024, Na'imah didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan gagal mematuhi notis untuk mengisytiharkan aset beliau termasuk Menara Ilham dan beberapa hartanah lain di Kuala Lumpur serta Pulau Pinang.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM100,000 jika sabit kesalahan.

Pada 29 Feb 2024, Na'imah memfailkan permohonan untuk merujuk persoalan berkaitan Seksyen 30(5), 36(2) dan 62 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 32(3)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001.

Bagaimanapun, pada 18 Feb lepas Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi menolak permohonan Na'imah atas alasan ia tiada merit kerana tiada isu perlembagaan yang dibangkitkan dalam kes terbabit.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan