Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin
KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Makanan ikonik rakyat Malaysia seperti nasi lemak dan buah-buahan tempatan serta dari negara ASEAN seperti salak dan mata kucing antara diplomasi kulinari yang dihidangkan pada mesyuarat ASEAN kali ini.
Sajian berkenaan disediakan Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Kepelbagaian makanan serantau ini menjadi bualan para delegasi yang turut beramah mesra sambil bertukar-tukar pendapat mengenai selera dan cita rasa masing-masing.
Cef Eksekutif MITEC Chiew Chee Mun berkata pemilihan buah-buahan kali ini merangkumi pelbagai jenis termasuk nanas, betik, salak dan mata kucing yang masing-masing terkenal di Indonesia dan Thailand.
“Pemilihan buah-buahan kali ini tidak hanya tertumpu kepada Malaysia. Kita juga mahu menyerlahkan buah-buahan dari negara jiran. Saya mahu delegasi mempunyai topik di meja makan, sesuatu yang boleh mencetuskan perbualan tentang buah-buahan dari negara masing-masing ketika makan bersama.
“Sekurang-kurangnya, apabila mereka berbincang, akan wujud satu persamaan yang boleh dikongsi bersama,” katanya kepada Bernama di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan di sini hari ini.
Chiew yang mempunyai 25 tahun pengalaman dalam dunia kulinari berkata, faktor utama pemilihan buah-buahan adalah berdasarkan kesediaannya mengikut musim.
Menurutnya, satu daripada cabaran utama yang dihadapi pasukannya iaitu menyediakan makanan untuk 3,000 orang dalam kuantiti yang mencukupi dan lengkap bagi memastikan kualiti serta kesegaran bahan mentah selain pengurusan masa dan perancangan yang teliti.
Chiew turut dibantu 250 tenaga kulinari dan pekerja profesional yang bertungkus-lumus di belakang tabir dalam proses penyediaan serta penyajian makanan.
“Ini merupakan tanggungjawab saya sebagai cef untuk mengetengahkan makanan warisan Malaysia, menyatukan dan meraikan persamaan dalam perbezaan menerusi hidangan di samping menyokong peniaga tempatan dengan membeli bahan mentah daripada mereka, khususnya untuk AEM kali ini,” katanya.
Selain itu, MITEC juga bekerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) serta peniaga-peniaga kecil bagi mendapatkan bekalan yang mencukupi, segar dan dihantar terus ke dapur.
Mesyuarat AEM yang berlangsung dari 22 hingga 26 September, menghimpunkan lebih 500 delegasi dari negara anggota ASEAN serta rakan dialog.
Selain Malaysia, ASEAN dianggotai Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam manakala rakan-rakan dialog termasuk China, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial