KUCHING, 23 Sept (Bernama) -- Unifi Business baru-baru ini melancarkan kempen IMPAK BIZ untuk membantu memperkasakan pendigitalan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Malaysia, serta menandakan langkah penting dalam mengukuhkan ekosistem keusahawanan dan memacu inovasi perniagaan.
Majlis pelancaran IMPAK BIZ pada 19 Ogos, 2025 di Kuching telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak Kumbong dengan dihadiri Ketua Pegawai Komersial Strategi Pengguna dan Perniagaan Unifi Shanti Jusnita Johari, Naib Presiden Unifi Business Dr Mohamad Yusman Ammeran dan Ketua Pegawai Operasi CTOS Data Systems Sdn Bhd Lee Shin Mei.
Unifi Business berkata IMPAK BIZ merupakan kempen peringkat nasional yang direka untuk membantu PMKS menilai dan memahami tahap pendigitalan perniagaan mereka, serta menyediakan alat cadangan untuk membantu mendigitalkan perniagaan mereka dengan lebih lanjut. Selain itu, Unifi Business turut menawarkan sokongan pendigitalan premium.
“Kempen yang berlangsung dari 18 Ogos hingga 31 Dis, 2025 ini bertujuan menggalakkan PMKS menerima pakai pendigitalan untuk meluaskan capaian pasaran, mengukuhkan celik kewangan untuk meningkatkan akses kepada pembiayaan dan memupuk kerjasama antara usahawan, penyedia perkhidmatan dan institusi kewangan bagi membina ekosistem perniagaan yang mampan,” kata Unifi Business.
Sebagai sebahagian daripada kempen itu, PMKS yang mengambil bahagian boleh menggunakan alat penilaian kesiapsiagaan digital percuma yang mengandungi tidak lebih daripada 20 soalan untuk menilai tahap kematangan digital semasa mereka. Alat ini boleh diakses di https://biz.unifi.com.my/impakbiz.
Berdasarkan hasil daripada penilaian itu, PMKS akan diberi cadangan penyelesaian untuk menangani jurang perniagaan dan meningkatkan kecekapan. Setelah penilaian selesai, PMKS juga akan memperoleh akses kepada sokongan pendigitalan premium daripada rakan kongsi Unifi Business untuk terus mengukuhkan potensi pertumbuhan mereka.
Inisiatif itu disokong oleh rakan-rakan strategik termasuk Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), SME Corp Malaysia, CTOS, Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Maybank Islamic Berhad.
Ia turut disokong oleh Astro Awani sebagai rakan media, IPSOS sebagai rakan penyelidikan dan RTIST sebagai rakan penyelesaian.
“PMKS yang menggunakan IMPAK BIZ akan mendapat akses kepada pembiayaan mikro istimewa daripada BSN pada kadar kompetitif bermula daripada 3.5 peratus setahun dengan dokumentasi yang dipermudahkan, sokongan pensijilan halal percuma melalui kerjasama dengan Maybank Islamic, serta Laporan Perniagaan CTOS percuma untuk mengukuhkan kredibiliti kewangan dan membuat keputusan,” tambah Unifi Business.
Selain itu, PMKS juga akan mendapat manfaat melalui perkhidmatan kreatif dan pemasaran daripada bakat RTIST, rundingan peribadi bersama Perunding Digital Bertauliah Unifi Business dan penyertaan automatik untuk Anugerah IMPAK BIZ yang memberikan pengiktirafan dan pendedahan di peringkat kebangsaan.
Unifi Business berkata IMPAK BIZ direka untuk menyokong PMKS di seluruh negara dan meletakkan mereka untuk pertumbuhan yang mampan sambil menyumbang kepada matlamat Malaysia yang lebih luas untuk membina ekonomi yang berdaya saing dan mampan, selaras dengan janji jenamanya sebagai “Rakan Digital Pilihan Anda”.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial