JENAYAH & MAHKAMAH

AADK Tahan 11 Individu Termasuk Suami Isteri Disyaki Penagih Dadah

22/09/2025 09:11 PM

PENDANG, 22 Sept (Bernama) – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kedah menahan 11 individu termasuk pasangan suami isteri disyaki penagih dadah dalam Operasi Cegah Khas 3.0 di sekitar daerah berkenaan hari ini.

Pengarah AADK Kedah Khairul Anwar Ahmad berkata kesemua suspek berusia 18 hingga 40 tahun ditahan selepas didapati positif dadah methamphetamine di beberapa premis kediaman di mukim Ayer Puteh dan pekan Pendang.

“Pada tangkapan kali ini, terdapat pasangan suami isteri yang mempunyai bayi lelaki berusia tiga bulan, bagaimanapun bayi itu diserahkan kepada ahli keluarga, manakala suami isteri itu ditahan mengikut Seksyen 3(1) (a) Akta Penagih dan Penyalahgunaan Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

“AADK Kedah sentiasa komited dalam memastikan masalah dadah di Pendang yang juga daerah tertinggi kes penagihan dadah di negara ini dapat dikawal, dan kami cuba meminimumkan kadar penagih dadah baharu di negeri ini,” katanya di sini hari ini.

Operasi yang bermula 9 pagi dan berakhir 1 tengah hari tadi melibatkan lebih 10 anggota serta pegawai agensi terbabit.

Khairul Anwar berkata pihaknya akan terus mempergiatkan program-program pencegahan dengan dibantu 1,100 ahli skuad AADK di seluruh negeri bagi mengekang penyalahgunaan dadah daripada berleluasa.

Beliau berkata dari Jan hingga 31 Ogos lepas, 2,965 individu disyaki penagih dadah ditahan menerusi 339 operasi yang dijalankan di 11 daerah di negeri berkenaan.

Menurut Khairul Anwar pemeriksaan lebih ketat juga akan dilaksanakan di sempadan Bukit Kayu Hitam bagi mengekang golongan belia termasuk pelajar negara ini, yang berhibur dan mengambil dadah di negara jiran.

“Kami tengok trend hari ini, bayangkan budak sekolah dia boleh berhibur di sempadan. Begitu juga pelajar universiti keluar makan (di sempadan negara) pada sebelah malam, sekarang ini kami nak tangani isu ini, kami faham Danok (Thailand) itu meriah dengan pusat hiburan.

“Dalam tempoh dua minggu ini terdapat tiga kes pelajar dan belia positif dadah selepas pulang berhibur di sana… Saya dah bagi arahan kepada anggota untuk tingkatkan operasi kepada belia berumur 18 hingga 39 tahun yang naik motosikal, tidak kira lelaki atau perempuan, kami memperkasakan lagi operasi di sana,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan