SHAH ALAM, 22 Sept (Bernama) -- Selangor yakin mampu menjadi tapak terbaik untuk syarikat StarPower Semiconductor Ltd memulakan operasi pengeluaran modul kuasa berteknologi tinggi di Malaysia, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata dengan infrastruktur bertaraf dunia, ekosistem industri yang matang serta tenaga kerja berkemahiran tinggi hasil program pembangunan bakat negeri, Selangor memiliki kemudahan diperlukan syarikat berpangkalan di Jiaxing, Zhejiang, China memulakan operasi di negara ini.
Amirudin yang sedang dalam lawatan kerja rasmi ke China berkata StarPower kini sedang menilai lokasi di Malaysia untuk membuka operasi dengan pelaburan fasa pertama berjumlah RM200 juta yang akan memfokuskan pengeluaran modul IGBT dan SiC MOSFET.
“Selangor mempunyai semua kelebihan diperlukan untuk menjadi destinasi pelaburan StarPower, termasuk kedudukan berhampiran pelabuhan utama negara serta Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang mempercepat urusan logistik.
“Selain itu, dasar Speed Selangor yang bakal dilancarkan Oktober ini juga akan mempercepat proses kelulusan pelaburan serta mempermudah urusan pelabur luar melabur," katanya menerusi hantaran Facebook selepas melawat syarikat peneraju dalam teknologi modul kuasa itu hari ini.
Amirudin bersama delegasi kerajaan negeri mengadakan lawatan kerja rasmi ke China selama sembilan hari bermula hari ini.
Mengulas lanjut, Amirudin berkata Selangor melalui Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) turut melaksanakan inisiatif pembangunan bakat semikonduktor menerusi penubuhan Advanced Semiconductor Academy of Malaysia (ASEM).
Antara program utama ASEM ialah National Semiconductor Excellence Programme (NSEP) yang menawarkan latihan reka bentuk litar hadapan dan belakang serta Global Semiconductor Exchange Programme (GSEP) dengan menghantar graduan menjalani latihan intensif dalam reka bentuk litar bersepadu analog di Shenzhen, China.
“Gabungan ekosistem industri matang, tenaga kerja berkemahiran dan infrastruktur bertaraf dunia menjadikan Selangor lokasi ideal untuk pelabur semikonduktor seperti StarPower memulakan operasi di Malaysia,” katanya.
StarPower merupakan peneraju global dalam teknologi modul kuasa dan mengkhusus dalam reka bentuk serta pembuatan komponen seperti IGBT, SiC, MOSFET, IPM dan FRD selain turut menyediakan penyelesaian kuasa tersuai kepada pelbagai sektor utama.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial