PETALING JAYA, 26 Ogos (Bernama) -- Malaysia tidak boleh ketinggalan dalam menguasai teknologi kecerdasan buatan (AI) yang menjadi teras kepada pembangunan modal insan dan daya saing negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata keupayaan negara untuk menguasai kemahiran atau teknologi baharu ialah kunci kepada kemampuan Malaysia dalam menghadapi transformasi digital global.
“Kalau kita tidak laksanakan 5G, AI, kita akan tertinggal, langkah kita menjadi lambat dan kebelakangan.
“Anak-anak kita tidak akan mendapat ruang pekerjaan yang lebih baik jika negara tidak mampu mengangkat kemahiran, kepintaran dan keterampilan mereka,” kata beliau ketika berucap melancarkan program CD:NXT yang dikelolakan oleh CelcomDigi Bhd di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi Datuk Idham Nawawi.
Perdana Menteri berkata AI dan transformasi digital juga ialah jawapan kepada jurang teknologi berkenaan dalam kalangan rakyat Malaysia.
“AI dan transformasi digital harus menyelesaikan sebahagian daripada masalah yang disebut digital divide atau kesenjangan antara kelompok yang bernasib baik di bandar dengan kelompok miskin bandar serta desa dan pedalaman,” katanya.
Bagaimanapun, Perdana Menteri mengingatkan bahawa pengalaman lepas membuktikan bahawa penggunaan komputer dan teknologi baharu tidak semestinya menjamin lonjakan produktiviti tanpa usaha meningkatkan kemahiran tenaga kerja.
“Hal ini memaksa kita berfikir bagaimana kita boleh mengangkat keupayaan rakyat? Melatih mereka dan menyediakan inovasi supaya benar-benar memberikan kesan kepada pembangunan negara,” katanya.
CD:NXT ialah inisiatif oleh CelcomDigi untuk membangunkan bakat masa depan negara selaras dengan aspirasi Malaysia menjadi ekonomi yang dipacu oleh teknologi 5G dan AI.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial