AM

PNB Peruntuk RM1.32 Juta, Laksana Program Santuni MADANI Di Melaka, Kedah

21/09/2025 05:25 PM

JASIN, 21 Sept (Bernama) -- Permodalan Nasional Berhad (PNB) memperuntukkan sebanyak RM1.32 juta bagi melaksanakan Program Santuni MADANI di Kampung Merlimau Pantai di sini dan Kampung Telok Kandih, Kedah.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata ia sebagai usaha memperkasa komuniti melalui pendidikan, pembangunan infrastruktur, kebajikan dan keusahawanan.

"Pelaksanaan ini juga adalah sebahagian daripada komitmen PNB di bawah program Satu Pemimpin Satu Kampung dan menyokong agenda Pengaktifan dan Reformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP).

“Kami berharap usaha holistik ini dapat memberikan impak bermakna kepada kehidupan rakyat, bukan sahaja dari segi kebajikan komuniti tetapi juga pembangunan infrastruktur dan peluang keusahawanan,” katanya kepada pemberita di Kampung Merlimau Pantai di sini hari ini.

Terdahulu Program Santuni MADANI itu disempurnakan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.

Mengulas lanjut Abdul Rahman berkata program itu menyasarkan pelbagai kumpulan termasuk usahawan tempatan, pelajar, warga emas, asnaf serta penduduk yang memerlukan bantuan kesihatan.

Antara inisiatif yang dilaksanakan ialah bimbingan kepada usahawan makanan, minuman dan perkhidmatan melalui Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), pemberian biasiswa BUDI-TVET PNB serta penambahbaikan infrastruktur seperti gelanggang sepak takraw, masjid dan Tabika Kemas.

Selain itu, katanya, sumbangan peralatan perubatan seperti kerusi roda, katil perubatan dan alat pemantauan diagnostik turut diberikan kepada pesakit dan warga emas yang memerlukan.

“Bagi Kampung Merlimau Pantai, PNB berhasrat membantu merancakkan sektor pelancongan dengan memanfaatkan keindahan semula jadi dan warisan budaya sebagai daya tarikan baharu.

“Sementara di Kampung Telok Kandih, fokus diberikan kepada pemupukan potensi keusahawanan dan pembangunan perniagaan kecil,” katanya.

Program Santuni MADANI diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2024 sebagai inisiatif menyeluruh bagi memperkukuh kesejahteraan rakyat di seluruh negara.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan