JENAYAH & MAHKAMAH

Mayat Dalam Kereta Di Simpang Pulai: Pertikaian Harta Dipercayai Motif Bunuh - Polis

20/09/2025 09:18 PM

TELUK INTAN, 20 Sept (Bernama) -- Pertikaian mengenai harta dipercayai menjadi motif pembunuhan seorang wanita warga emas, yang mayatnya ditemukan dalam sebuah kenderaan di Simpang Pulai pada 7 Sept lepas. 

Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata hasil siasatan pihaknya mendapati suspek utama yang masih bebas dan mangsa mempunyai ikatan kekeluargaan.

Beliau bagaimanapun berkata motif pembunuhan wanita berusia 62 tahun itu hanya boleh disahkan apabila suspek utama yang ketika ini dipercayai melarikan diri ke luar negara melalui laluan tikus ditahan. 

“Memang bermotifkan (pembunuhan) perebutan harta. Kesemua sembilan individu yang ditahan sebelum ini pun ada hubungan kekeluargaan,” katanya.

Noor Hisam berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan penutupan Program Ter...Paling Pahlawan Challenge 2025 anjuran IPD Hilir Perak di Padang Speedy di sini hari ini.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad dilaporkan berkata pihaknya mendapatkan bantuan Interpol bagi mengesan suspek yang dipercayai menembak dan menikam seorang anggota polis di Simpang Pulai di sini, sebelum mayat seorang wanita ditemukan dalam kereta dipandunya.

Dalam kejadian itu, polis berusia 26 tahun dari Balai Polis Simpang Pulai terkena tembakan pada bahagian perut dan tikaman pisau semasa bergelut dengan suspek. 

Sembilan individu kemudian ditahan bagi membantu siasatan, bagaimanapun dibebaskan seminggu selepas itu. 

Dalam pada itu, Noor Hisam berkata anggota polis berkenaan masih dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh dan berada dalam keadaan stabil.

“Kami juga masih belum menemukan pistol milik konstabel polis yang dirampas suspek semasa kejadian,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan