TOKYO, 20 Sept (Bernama-Kyodo) – Menteri Pertanian Jepun Shinjiro Koizumi mengumumkan pada Sabtu beliau akan bertanding dalam Pemilihan Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) bulan depan, dengan janji untuk meningkatkan ekonomi dan menghidupkan semula parti pemerintah itu selepas prestasi buruknya dalam pilihan raya nasional baru-baru ini.
Menurut Agensi Berita Kyodo, Koizumi, 44, yang juga anak kepada bekas Perdana Menteri Junichiro Koizumi, berkata beliau bersedia memperluas gabungan pemerintah sedia ada, selain berikrar menangani isu-isu berkaitan pelancong dan penduduk asing.
Koizumi menjadi ahli parlimen LDP kelima, dan dijangka terakhir, yang secara rasmi mengumumkan pencalonannya bagi pemilihan kepimpinan parti pada 4 Okt, bagi memilih pengganti Perdana Menteri Shigeru Ishiba yang akan berundur. Kempen akan bermula Isnin ini.
Beliau dan bekas Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Sanae Takaichi dilihat sebagai calon pilihan utama, mengatasi Setiausaha Kabinet Yoshimasa Hayashi, bekas Menteri Luar Toshimitsu Motegi dan bekas Menteri Keselamatan Ekonomi Takayuki Kobayashi, menurut tinjauan media baru-baru ini.
“LDP berada dalam krisis,” kata Koizumi pada sidang media, sambil berikrar menjadikan langkah pemulihan ekonomi sebagai “keutamaan utama” dan mendorong pertumbuhan gaji yang mengatasi peningkatan kos sara hidup. Beliau menyasarkan kenaikan purata gaji tahunan sebanyak 1 juta yen (US$6,800) menjelang tahun fiskal 2030.
Koizumi berkata beliau akan merangka “pelan tindakan” menjelang akhir tahun bagi menangani isu pelancongan berlebihan, pekerja asing tanpa izin, pembelian tanah oleh bukan pemastautin asing dan ketidakpatuhan sesetengah penduduk asing terhadap sistem insurans kesihatan awam.
Isu berkaitan pelancong dan penduduk asing menjadi tumpuan perbahasan semasa pilihan raya Dewan Kaunselor pada 20 Julai, yang memberi kelebihan kepada parti pembangkang kecil berfahaman populis, Sanseito, dengan slogan “Japanese First”.
Pertandingan kepimpinan LDP itu berlangsung selepas Ishiba mengumumkan awal bulan ini beliau akan meletakkan jawatan untuk mengambil tanggungjawab atas kegagalan besar parti dalam pilihan raya nasional baru-baru ini.
Koizumi dilaporkan berjaya memujuk Ishiba, yang berhasrat kekal sebagai perdana menteri, untuk berundur. Sejak dilantik sebagai Menteri Pertanian, Perhutanan dan Perikanan pada Mei lepas, usaha Koizumi menangani kenaikan mendadak harga beras telah menarik perhatian umum.
Beliau juga sudah pun mendapat sokongan ahli parlimen veteran termasuk bekas Menteri Luar Taro Kono dan Menteri Kewangan Katsunobu Kato, yang bertanding dalam pemilihan kepimpinan LDP tahun lepas. Kato akan mengetuai ibu pejabat kempen Koizumi atas permintaannya.
Pemimpin baharu LDP tidak dijamin secara automatik menjadi perdana menteri kerana gabungan pemerintah LDP bersama rakan kecilnya, parti Komeito, tidak memiliki majoriti di Dewan Rendah.
Calon yang menang perlu memperoleh sokongan dalam undian Dewan Perwakilan, dengan seorang calon pembangkang dijangka turut bertanding.
Blok pemerintah minoriti itu memerlukan sokongan parti pembangkang untuk meluluskan belanjawan dan rang undang-undang, memaksa LDP yang hampir tidak pernah kehilangan kuasa sejak 1955, mempertimbangkan cara mendapatkan sokongan mereka untuk mengekalkan pemerintahan.
-- BERNAMA-KYODO
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial