LANGKAWI, 4 Sept (Bernama) -- Mesyuarat Menteri-Menteri Alam Sekitar ASEAN Campur Tiga (APT-EMM) hari ini menekankan keperluan menangani krisis tiga serangkai alam sekitar iaitu perubahan iklim, pencemaran dan kehilangan biodiversiti menerusi pemerkasaan kerjasama serantau serta antarabangsa.
Menteri Alam Sekitar Jepun Keiichiro Asao berkata terdapat keperluan untuk mengubah sistem sosioekonomi kepada sistem yang lebih mampan dan berdaya tahan.
Beliau berkata langkah memaksimumkan sinergi antara inisiatif yang ada akan membantu menangani cabaran di lapangan selain meletakkan asas bagi pembangunan mampan bagi jangka panjang.
“Kita kini berdepan krisis tiga serangkai alam sekitar iaitu perubahan iklim, pencemaran dan kehilangan biodiversiti... bagi menangani kesemua cabaran ini, kita perlu mengubah sistem sosioekonomi kita kepada sistem yang lebih mampan dan berdaya tahan.
“Selain itu, dengan memaksimumkan sinergi antara setiap inisiatif ini, saya yakin bahawa kita boleh memberikan sumbangan yang bermakna bukan sahaja dalam menangani cabaran ini di peringkat akar umbi tetapi juga meletakkan asas kukuh bagi pembangunan mampan jangka panjang,” katanya pada mesyuarat itu hari ini.
Asao juga berkata Jepun akan terus bekerjasama rapat dengan negara dan organisasi di seluruh dunia untuk menekankan kepentingan peranan bandar dalam menangani krisis tiga serangkai itu serta mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) selaim sasaran iklim di samping menerajui usaha global untuk menyokong pelaksanaannya.
“Jepun akan terus memperkukuh kerjasama dengan negara anggota ASEAN dan dengan penyelarasan bersama China dan Republik Korea, berusaha sedaya upaya untuk memastikan bahawa ASEAN Campur Tiga menerajui usaha global ke arah nyahkarbon serta merealisasikan masyarakat mampan,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Kementerian Alam Sekitar Korea Leejae Jang berkata republik tersebut melihat ASEAN sebagai rakan kongsi penting dalam menangani cabaran global dan mencapai matlamat bersama pembangunan mampan.
“Kami komited untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang seperti perubahan iklim, biodiversiti dan ekonomi kitaran,” katanya.
Terdahulu, Pemangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Seri Johari Abdul Ghani dalam ucapan perasmian EMM ke-19 berkata perbincangan yang diadakan bertujuan terus memperdalam kerjasama dan memperoleh hasil konkrit yang memanfaatkan bukan sahaja rantau ini malah turut menyumbang kepada pencapaian matlamat alam sekitar dan iklim di peringkat global.
Beliau berkata mesyuarat itu memberi peluang untuk menilai kemajuan kerjasama, bertukar-tukar pandangan mengenai isu alam sekitar merentasi pelbagai bidang dan merangka hala tuju yang praktikal serta berpandangan jauh bagi terus memperkukuh kerjasama.
“Mesyuarat ini diadakan ketika rantau ini terus berdepan cabaran alam sekitar yang mendesak dan kompleks termasuk perubahan iklim, kehilangan biodiversiti, pencemaran plastik marin, jerebu rentas sempadan, dan keperluan mendesak bagi memajukan penyelesaian ekonomi kitaran,” katanya.
Johari juga berkata sejak sekian lama, kerangka ASEAN Campur Tiga telah menjadi platform penting bagi dialog, kerjasama dan perkongsian dalam menangani kesemua cabaran bersama ini.
“Menerusi inisiatif seperti Inisiatif Tindakan Bersama Sisa Plastik Marin ASEAN Campur Tiga, Program Kepimpinan ASEAN Campur Tiga mengenai Penggunaan dan Pengeluaran Mampan, program pembinaan keupayaan serta sokongan terhadap strategi alam sekitar ASEAN, rakan-rakan Campur Tiga kita telah menunjukkan komitmen teguh mereka ke arah memajukan kemampanan serantau,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial