AM

Ketegangan Thailand-Kemboja: Malaysia Adakan Perbincangan Lanjut - PM

19/09/2025 01:20 PM

KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) -- Malaysia telah mengadakan perbincangan lanjut berhubung ketegangan yang tercetus antara Thailand dan Kemboja, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata perbincangan itu telah berlangsung semalam dengan pemimpin kedua-dua negara.

“Saya bincang dengan Perdana Menteri Thailand dan Perdana Menteri Kemboja, kedua-duanya," kata beliau kepada media ketika ditanya mengenai konflik tersebut.

Anwar berkata demikian selepas merasmikan Sidang Kemuncak Halal Global 2025 dan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal Malaysia.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz serta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Media sebelum ini melaporkan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet mendakwa tentera Thailand menghalang lebih 20 keluarga kembali ke rumah mereka di kawasan sempadan yang dipertikai, seperti dinyatakan dalam surat beliau kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Jurucakap tentera Thailand Winthai Suvaree pula mendakwa penduduk Kemboja telah terlibat dalam insiden keganasan dan mencetuskan kekecohan dengan sengaja, selain bertindak menduduki wilayah Thailand secara haram.

Thailand dan Kemboja sebelum ini telah mencapai persetujuan untuk melaksanakan gencatan senjata pada Julai selepas pertempuran yang berlaku antara kedua-dua negara mengorbankan 33 nyawa. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan