EKONOMI

Harga Minyak Dijangka Raih Manfaat Daripada Penurunan Kadar Faedah Fed -- Rystad Energy

18/09/2025 03:48 PM

KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) -- Harga minyak bakal meraih manfaat daripada penurunan terkini kadar Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS), yang dijangka meningkatkan sentimen permintaan global, kata syarikat penyelidikan tenaga bebas, Rystad Energy.

Awal hari ini Pengerusi Fed Jerome Powell mengumumkan keputusan bank pusat AS untuk mengurangkan kadar faedah utamanya sebanyak 0.25 mata peratusan.

Pada 11.10 pagi, penanda aras global minyak mentah Brent menyusut 0.26 peratus kepada US$67.77 setong.

Ketua ekonomi dan pengarah global analisis pasaran Rystad Energy, Claudio Galimberti, berkata penurunan kadar Fed mengukuhkan perbendaharaan AS, dengan hasil jangka pendek susut pada kadar dasar yang lebih rendah manakala hasil jangka panjang kekal tinggi disebabkan kebimbangan defisit kerajaan.

“Bagi tenaga, hasil jangka pendek yang lebih rendah melemahkan dolar dan meningkatkan sentimen permintaan global.

“Bagi Brent khususnya, penurunan (kadar) pada hari ini dan jangkaan dua kali lagi (penurunan) menjelang akhir tahun akan menjadi faktor penyokong, yang sebahagiannya akan mengimbangi strategi longgar Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+)," katanya.

Galimberti berkata pengumuman Fed itu dibuat susulan tekanan kuat daripada Presiden AS Donald Trump untuk mengurangkan kadar faedah bagi membantu meningkatkan lagi ekonomi dan mengurangkan sebarang potensi kesan meluas tarif terhadap aktiviti ekonomi.

“Penurunan kadar itu sejajar dengan jangkaan dan dibuat selepas bank mengekalkannya dalam jajaran 4.25-4.50 peratus sejak Disember, berikutan penurunan mata peratusan penuh pada 2024.

"Penurunan itu dibuat susulan pertumbuhan lemah data pekerjaan apabila syarikat mengekang perbelanjaan untuk menilai kesan jangka panjang tarif ke atas pertumbuhan dan aliran perdagangan,” katanya.

Beliau berkata penurunan kadar itu menunjukkan pendekatan berhati-hati bank pusat dalam mengimbangi langkah mengekalkan pekerjaan penuh dan dalam masa yang sama mengelakkan inflasi daripada meningkat sekali lagi melepasi kadar sasarannya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan