AM

Universiti Jambatan Perkukuh Hubungan Antarabangsa - Raja Muda Perlis

18/09/2025 03:18 PM

Daripada Shuhaida Mohd Said

JAKARTA, 18 Sept (Bernama) -- Universiti harus berperanan sebagai jambatan kepada pengukuhan hubungan antarabangsa, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Baginda yang juga Tuanku Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bertitah pendidikan mampu memperkukuh hubungan serantau, memacu pembangunan berteraskan ilmu, serta menyumbang kepada kemajuan ummah dan kesejahteraan global.

“Malaysia, khususnya Perlis amat mengalu-alukan kerjasama berterusan dengan institusi pengajian di luar negara sekali gus melahirkan graduan berkemahiran tinggi, inovatif, berfikiran kritis, serta mampu memberi impak kepada masyarakat.

"Ilmu yang diperoleh di bilik kuliah perlu diperkayakan dengan pengalaman lintas budaya, jaringan antarabangsa, serta sikap terbuka terhadap kepelbagaian," titah baginda pada program sempena UniMAP International Leadership Mobility 2025 di Universitas Mercu Buana (UMB) di sini.

Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga Tuanku Pro Canselor UniMAP.

Keberangkatan baginda berdua disambut oleh Rektor UMB Prof Dr Ir Andi Adriansyah serta para dosen (tenaga pengajar) serta para pelajar universiti berkenaan. 

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah lawatan itu membuka ruang kerjasama baharu antara UniMAP dan UMB dalam pelbagai bidang, antaranya pertukaran akademik melibatkan pelajar dan pensyarah.

"Selain itu, penyelidikan bersama dalam bidang kejuruteraan, teknologi maklumat, pengurusan serta komunikasi dan juga perkongsian kepakaran industri mampu memberi manfaat langsung kepada kedua-dua universiti," titah baginda.

UMB mempunyai reputasi cemerlang sebagai sebuah universiti swasta yang berdaya saing, berorientasikan industri, dan progresif dalam mempersiapkan generasi muda untuk pasaran kerja global.

"Hubungan antara UniMAP dan UMB ini diharap bukan sekadar menjalin memorandum atau persefahaman rasmi, tetapi benar-benar dilaksanakan melalui program yang memberi nilai tambah kepada pelajar, tenaga akademik, dan masyarakat kedua-dua negara.

"Kepada para mahasiswa, khususnya dari Malaysia dan Indonesia, saya ingin berpesan supaya manfaatkanlah peluang kolaborasi ini dengan penuh kesungguhan," titah baginda.

Baginda turut menasihatkan supaya para mahasiswa menjadi generasi yang bukan sahaja bijak dan berkemahiran, malah memiliki kepimpinan, disiplin, serta nilai kemanusiaan yang tinggi. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan