Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid
KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Momentum belian yang berterusan dalam saham wajaran tinggi perkhidmatan kewangan membantu Bursa Malaysia ditutup pada paras tertinggi intra harinya pada Rabu dengan indeks utama mengukuhkan kedudukannya melepasi paras psikologi 1,600.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 11.57 mata kepada 1,611.70 daripada paras penutup 1,600.13 pada Jumaat minggu lepas.
Indeks itu dibuka tinggi naik 2.09 mata kepada 1,602.22, dan kemudiannya mencecah paras terendahnya pada 1,599.61 pada awal dagangan.
Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 739 berbanding 409, manakala 501 kaunter tidak berubah, 969 tidak diniagakan dan tujuh digantung.
Jumlah dagangan meningkat kepada 3.13 bilion unit bernilai RM3.16 bilion daripada 2.23 bilion unit bernilai RM2.10 bilion pada Jumaat minggu lepas.
Bursa Malaysia ditutup pada 15 Sept (Isnin), iaitu cuti umum tambahan sempena Hari Malaysia yang jatuh pada 16 Sept (Selasa).
Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata trend positif FBM KLCI itu juga sejajar dengan prestasi pasaran serantau yang menggalakkan.
Beliau berkata indeks serantau utama kebanyakannya ditutup lebih tinggi dengan pembelian kukuh saham teknologi di China dan Hong Kong disokong oleh kekuatan sektor teknologi berikutan sentimen positif terhadap perkembangan kecerdasan buatan (AI) Amerika Syarikat (AS).
“Bagi bursa tempatan, indeks petunjuk pasaran memperoleh semula momentum, dengan pergerakan terkini di atas paras psikologi utama 1,600, bergerak menuju ke paras rintangan seterusnya pada 1,620–1,650,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, ketua penyelidikan Berjaya Research Sdn Bhd Kenneth Leong berkata prestasi positif di bursa tempatan dijangka berterusan, disokong oleh jangkaan penurunan kadar sebanyak 25 mata asas oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS.
“Dasar monetari yang lebih akomodatif oleh Fed berkemungkinan akan menambah baik keadaan mudah tunai global, meningkatkan minat risiko, dan berpotensi membawa masuk semula aliran dana asing ke dalam ekuiti negara-negara sedang pesat membangun, dengan Malaysia dijangka mendapat manfaat daripada penilaian yang agak menarik dan prospek pendapatan yang stabil,” katanya.
Leong berkata dari segi teknikal, FBM KLCI telah membentuk trend menaik dan dijangka menuju ke arah paras rintangan pada 1,620 mata, dan paras sokongan pada 1,580 mata.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik tujuh sen kepada RM9.94, Public Bank meningkat lima sen kepada RM4.30, CIMB menokok 15 sen kepada RM7.52, Tenaga menambah enam sen kepada RM13.44, dan IHH melonjak 11 sen kepada RM7.36.
Dalam kalangan saham aktif, Pharmaniaga meningkat 2.5 sen kepada 27.5 sen, Zetrix Ai dan Tanco menokok 1.5 sen setiap satu masing-masing kepada 87.5 sen dan 84 sen, VS Industry dan Bumi Armada naik satu sen masing-masing pada 55.5 sen dan 35 sen.
Saham untung utama hari ini diterajui Petronas Dagangan, yang melonjak RM1.24 kepada RM22.98, Allianz naik 42 sen kepada RM18.50, PPB Group meningkat 33 sen kepada RM10.26, Ajinomoto menokok 24 sen kepada RM1.83 dan Sam Engineering menambah 23 sen kepada RM3.93.
Telekom Malaysia meneraju saham paling rugi, turun 60 sen kepada RM7.00, Fraser dan Neave susut 26 sen kepada RM26.80, United Plantations berkurangan 12 sen kepada RM22.80, Riverview Rubber turun 11 sen kepada RM2.89 dan Gamuda susut sembilan sen kepada RM5.55.
Di papan indeks, Indeks FBM 70 meningkat 75.52 mata kepada 16,620.10, Indeks FBM ACE naik 47.76 mata kepada 4,850.03 dan Indeks FBM Emas Shariah menokok 46.11 mata kepada 11,936.40.
Indeks FBM Emas melonjak 81.27 mata kepada 11,943.99, dan Indeks FBMT 100 meningkat 76.47 mata kepada 11,700.24.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 2.27 mata kepada 167.55, Indeks Perladangan menokok 34.66 mata kepada 7,734.20, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 173.72 mata kepada 18,242.14 dan Indeks Tenaga naik 7.84 mata kepada 750.74.
Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.92 bilion unit bernilai RM2.89 bilion, daripada 1.34 bilion unit, bernilai RM1.87 bilion pada Jumaat minggu lepas.
Jumlah dagangan waran naik kepada 860.43 juta unit bernilai RM137.02 juta daripada 519.23 juta unit bernilai RM83.64 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE turun kepada 343.55 juta bernilai RM133.36 juta daripada 369.5 juta bernilai RM143.0 juta.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 26.52 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (340.87 juta), pembinaan (146.12 juta), teknologi (290.82 juta), perkhidmatan kewangan (111.10 juta), hartanah (204.89 juta), perladangan (22.95 juta), REIT (44.95 juta), dana tertutup (426,700), tenaga (159.12 juta), penjagaan kesihatan (194.05 juta), telekomunikasi dan media (42.44 juta), pengangkutan dan logistik (31.25 juta), utiliti (74.55 juta), dan amanah perniagaan (33,900).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial