KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil hari ini merakamkan penghargaan kepada semua yang terlibat dan memberi sokongan dalam menjayakan sambutan Hari Malaysia 2025, semalam.
Fahmi, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, berkata ia sekali gus menjadikan sambutan berkenaan begitu bermakna.
“Kita raikan bukan sahaja sejarah, tetapi juga semangat perpaduan yang menyatukan rakyat.
“Terima kasih kepada semua yang hadir memeriahkan sambutan di PICCA (Pusat Konvensyen PICCA@Arena), Butterworth malam semalam, serta yang menonton secara langsung dari rumah,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau turut menukilkan serangkap pantun "Satu hati walau berbilang bangsa, Kan bersama bawah naungannya, Satu jiwa tak kira apa warna, Takkan ada yang membezakan kita. Selamanya Malaysia kita!"
Sambutan tahun ini, yang bertemakan 'Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni', disempurnakan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib dan dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Turut hadir Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Timbalan-Timbalan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas mewakili Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Shahelmey Yahya mewakili Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial