BUTTERWORTH, 16 Sept (Bernama) -- Rakyat Malaysia perlu menghindari sikap pelampau kaum dan agama bagi menjamin kelangsungan negara yang berdaulat dan merdeka selain menolak sikap ekstrem yang boleh memecah-belahkan rakyat.
Menyampaikan Amanat Sambutan Hari Malaysia 2025 di hadapan ribuan rakyat berbilang kaum malam ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan sikap fanatisisme agama dan perkauman boleh menggugat kestabilan politik dan ekonomi negara.
“(Sebagai) Negara merdeka dan berdaulat, (rakyat) mesti bersatu, mesti meleburkan kebencian dan prasangka antara kaum dan agama serta wilayah. Mesti menentukan bahawa sikap terlampau dengan kaum lain atau fanatik agama tidak dibenarkan.
“Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat menjamin peluang serta kesaksamaan bagi semua kaum,” katanya pada Majlis Sambutan Hari Malaysia 2025 bertemakan 'Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni di Pusat Konvensyen PICCA@Arena di sini, yang disempurnakan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib.
Turut hadir Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas mewakili Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Shahelmey Yahya mewakili Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.
Pada masa sama, Perdana Menteri berkata cabaran kepada pimpinan negara pula adalah memastikan ekonomi Malaysia terus melonjak dengan mengamalkan tatakelola yang baik.
Menyentuh mengenai kemerdekaan, beliau menekankan bahawa erti sebenar kemerdekaan bukan sekadar menggantikan penjajah dengan anak tempatan tetapi menjamin wujudnya sistem yang adil, berakhlak dan menjunjung nilai kemanusiaan.
“Kemerdekaan ertinya menjamin suatu sistem ekonomi, budaya yang adil serta menjamin perpaduan dalam kalangan kita,” katanya.
Beliau berkata kemerdekaan Malaysia agak unik kerana ia tidak dibina atas penindasan kaum lain tetapi atas prinsip kebersamaan dan keadilan yang perlu dikekalkan oleh generasi baru.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial