AM

SAR Petugas Sabah Electricity Disambung Esok

17/09/2025 08:58 PM

KOTA KINABALU, 17 Sept (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah petang tadi menangguhkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang petugas Sabah Electricity yang dipercayai lemas dibawa arus banjir di Sungai Nuntunan, Apin-Apin, Keningau, malam tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah Mohd Pisar Aziz berkata operasi SAR lelaki berusia 35 tahun itu disambung semula esok.

Beliau berkata operasi hari ini yang dimulakan 9.30 pagi tadi melibatkan pencarian sejauh 40 kilometer radius sekitar Sungai Pagalan iaitu melalui Sungai Kampung Banjar, Sungai Kampung Mempikit dan Sungai Kampung Rimbayan.

“Maklumat daripada orang awam pada 1.06 pagi terlihat kelibat mangsa di Sungai Kepayan, Keningau namun mangsa telah dibawa arus deras. Tidak lama selepas itu, mangsa sekali lagi kelihatan di Sungai Baginda pada 1.15 pagi tetapi usaha menyelamat sukar dilakukan akibat arus air terlalu deras. 

“Sehingga kini mangsa masih belum dijumpai,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Dalam kejadian malam tadi, tiga petugas syarikat itu dibawa arus banjir ketika ke Kampung Nuntunan Apin-Apin, Keningau untuk menjalankan operasi pemulihan bekalan elektrik.

Dua daripada mereka berjaya menyelamatkan diri manakala seorang lagi dihanyutkan arus.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan