DUNIA

Bursa Malaysia Kekalkan Momentum Meningkat Pada Tengah Hari

17/09/2025 02:32 PM

KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Indeks petunjuk utama Bursa Malaysia menokok sebanyak 0.19 peratus pada tengah hari ini dengan pasaran secara menyeluruh kekal positif, dipacu jangkaan berkaitan keputusan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS), lewat malam ini.

Pada 12.30 tengah hari, indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 3.12 mata kepada 1,603.25 daripada paras penutup 1,600.13 pada Jumaat lepas.

Indeks itu dibuka menokok 2.09 mata kepada 1,602.22 dan diniagakan dalam julat 1,599.61 hingga 1,604.25 sepanjang sesi dagangan pagi.

Pasaran secara meluas juga positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 599 berbanding 405 manakala 470 kaunter tidak berubah, 1,144 tidak diniagakan dan tujuh lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 1.89 bilion saham bernilai RM1.49 bilion.

Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota penyelidikannya hari ini berkata pasaran menjangkakan pihak Fed akan mengurangkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas walaupun data jualan runcit AS bagi Ogos lebih kukuh daripada jangkaan awal.

Perkembangan itu akan hanya memacu prestasi positif Wall Street, sekali gus turut memberi manfaat kepada sektor seperti unit amanah hartanah dan pengguna, kata firma pembrokeran itu.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank dan Tenaga susut dua sen kepada RM9.85 dan RM13.36 manakala Public Bank naik tiga sen kepada RM4.28, CIMB meraih 14 sen kepada RM7.51 dan IHH menokok tujuh sen kepada RM7.32.

Bagi saham aktif, Pharmaniaga menambah 1.5 sen kepada 26.5 sen, Zetrix Ai dan VS Industry meraih dua sen masing-masing kepada 88 sen dan 56.5 sen, Tanco dan Ekovest menokok satu sen kepada 83.5 sen dan 38.5 sen.

Di pasaran meluas, Indeks FBM Emas naik 40.07 mata kepada 11,902.79, Indeks FBMT 100 naik 36.07 mata kepada 11,659.84 manakala Indeks FBM Emas Shariah menambah 12.54 mata kepada 11,902.83.

Indeks FBM 70 melonjak 110.94 mata kepada 16,655.52 manakala Indeks FBM ACE naik 18.31 mata kepada 4,820.58.

Dari segi sektor, Indeks Perkhidmatan dan Produk Industri menambah 1.03 mata kepada 166.31, Indeks Perladangan menokok 4.26 mata kepada 7,703.80, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 96.80 mata kepada 18,165.22 dan Indeks Tenaga meningkat 10.05 mata kepada 752.95.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan