Oleh Suraidah Roslan
KOTA KINABALU, 14 Sept (Bernama) -- Tanggal 16 Sept, peguam Yannik Mohd Anuar bukan sahaja meraikan ulang tahun kelahiran, tetapi turut terkenang jasa datuknya Allahyarham Tan Sri Ghani Gilong yang berjuang membawa Sabah menyertai Persekutuan Malaysia.
Tarikh itu bukan sekadar sambutan peribadi, sebaliknya membawa memori perjuangan pemimpin Sabah dalam pembentukan Malaysia.
Cucu kepada pemimpin tempatan yang gigih meyakinkan rakyat Sabah untuk menyertai Persekutuan Malaysia itu amat berbangga kerana meraikan hari lahir pada tarikh sama negara ini dibentuk.
“Seawal usia tujuh tahun, saya memang diberitahu oleh keluarga bahawa 16 Sept, tarikh penting kepada sejarah negara. Saya diberitahu pada tarikh itu negara kita dibentuk dan ia juga Hari Jadi Yang Dipertua Negeri Sabah pada ketika itu.
“Saya berasa bangga kerana setiap kali menyambut hari lahir saya ia hari cuti. Sehingga sekarang, saya sering bergurau dengan kawan-kawan dengan menyatakan hari jadi saya sangat istimewa sehingga semua rakyat Malaysia diberikan cuti,” katanya kepada Bernama.
Berkongsi tentang perjuangan datuknya, Yannik amat mengagumi kesungguhan datuknya berjalan kaki berhari-hari meredah hutan belantara ke kawasan pedalaman bagi meyakinkan rakyat Sabah ketika itu untuk menyertai pembentukan Malaysia.
Ketika berusia 10 tahun, Yannik mula faham tentang perjuangan datuknya bersama Allahyarham Tun Datu Mustapha dan Tun Fuad Stephens dalam meyakinkan rakyat Sabah supaya bersetuju dengan pembentukan Malaysia melalui Suruhanjaya Cobbold.
“Antara kisah yang pernah dikongsikan oleh arwah datuk, beliau bersama pemimpin tempatan dibawa melawat pembangunan penempatan Felda di Tanah Melayu sebelum pembentukan Malaysia bagi meyakinkan pemimpin Sabah tentang faedah bergabung,” katanya.
Beliau berkata semasa pembentukan Malaysia, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) telah dimeterai sebagai syarat penyertaan Sabah dan Sarawak ke dalam Persekutuan Malaysia.
Biarpun aspek perlembagaan seperti kuasa imigresen, pendidikan dan kesihatan telah diberikan kepada Sabah, namun ada beberapa aspek yang belum terlaksana. Itu sebabnya datuknya rasa sedikit kesal dan kecewa.
“Datuk sering menyatakan bahawa perjuangannya belum berakhir. Beliau mempunyai harapan besar untuk melihat Sabah membangun seperti apa yang dijanjikan semasa lawatan ke kawasan penempatan Felda pada 1962,” katanya.
Bagaimanapun, cucu kepada bekas Menteri Kerja Raya itu rasa bersyukur kerana Malaysia pada hari ini sebuah negara yang aman dan harmoni.
“Saya rasa masa depan Malaysia terutama sekali Sabah cerah berdasarkan dasar-dasar kerajaan MADANI dan kerajaan negeri. Dasar-dasar yang ada sekarang dibentuk untuk memakmurkan dan juga memperbaiki kelestarian dan pembangunan Malaysia,” katanya.
Beliau turut menghargai usaha kerajaan mengadakan sambutan Hari Malaysia secara bergilir-gilir antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak dalam usaha memperingati tarikh pembentukan negara ini.
Berkongsi lanjut, graduan Universiti Northumbria, England itu berkata prinsip hidup datuknya tidak mudah berputus asa dan sentiasa yakin serta percaya kepada ketentuan Allah.
Sifat datuknya yang sentiasa mementingkan semangat kekeluargaan menjadikan anak dan cucu-cucunya begitu merindui saat mereka berkumpul beramai-ramai pada musim perayaan.
Kini, peguam yang bertugas di sebuah firma guaman ini mengendalikan kes-kes sivil dengan berpegang kepada prinsip dan nasihat yang sering dipesan oleh arwah datuknya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial