AM

'Rentak Tradisi Pulau Mutiara' Serikan Sambutan Hari Malaysia

14/09/2025 11:17 AM

Oleh Siti Azila Alias

BUTTERWORTH, 14 Sept (Bernama) -- Sambutan Hari Malaysia 2025 di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth pada Selasa ini menjanjikan persembahan pembukaan memukau yang mengetengahkan keunikan kepelbagaian budaya Pulau Pinang.

Penolong Pengarah I Bahagian Pembangunan Produksi dan Artistik Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Aishah Bee Arudin berkata, persembahan yang diberi nama “Rentak Tradisi Pulau Mutiara” itu digarap melalui gabungan tiga seni tradisi ikonik negeri iaitu Joget Joghee, Opera Cina Pulau Pinang dan Boria Pulau Pinang.

Beliau berkata karya baharu itu dicipta khas untuk sambutan kali ini dan bakal dipersembahkan oleh penari dari Kumpulan Kesenian JKKN, Kumpulan Adikarma Universiti Sains Malaysia, Kumpulan Tarian India Guru Shri Arul Manikam, Persatuan Opera Teow Chew Pulau Pinang serta Kumpulan Boria Budayasar.

“Ia akan dimulakan dengan Joget Joghee yang memancarkan semangat pergaulan, kemudian beralih kepada alunan lagu Opera Cina Pulau Pinang yang menonjolkan keindahan seni persembahan Cina Peranakan penuh warna-warni, sejarah dan tradisi.

“Persembahan selama lima minit ini akan diakhiri dengan Boria Pulau Pinang yang menampilkan nyanyian serta tarian jenaka sebagai lambang keterbukaan dan keharmonian masyarakat,” katanya ketika ditemui Bernama di PICCA@Arena Butterworth.

Aishah Bee berkata gabungan itu mencerminkan Pulau Pinang sebagai negeri beridentiti pelbagai budaya yang hidup harmoni serta kaya dengan warisan seni.

Mengulas lanjut, beliau berkata lazimnya tarian pembukaan akan menampilkan gubahan karya baharu yang menonjolkan ciri-ciri negeri penganjur, dan bagi edisi kali ini di Pulau Pinang, persembahan mendapat sentuhan koreografer JKKN negeri.

Katanya sambutan Hari Malaysia tahun ini turut menampilkan segmen persembahan khas selama 30 minit berkonsepkan tema sambutan “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni” yang dipersembahkan melalui gabungan muzik dan tarian bagi menonjolkan perpaduan lima kaum utama di Malaysia.

“Ia bakal dijayakan oleh barisan artis popular tanah air yang mewakili lima kaum iaitu Ella (Melayu), Suki Low (Cina), Roshini Balachandran (India), Rezza Shah (Sarawak) dan Dabra Sia (Sabah). Semua persembahan ini akan diiringi secara langsung oleh Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) dari Istana Budaya.

“Kita mengekalkan tema Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni yang membawa maksud menyantuni dalam aspek kesenian dan kebudayaan, memperlihatkan kekayaan identiti negara yang dimanifestasikan secara kreatif melalui persembahan muzik dan tarian demi menyumbang kepada perpaduan serta keharmonian masyarakat,” katanya.

Beliau berkata pengisian persembahan lagu dan tarian akan menampilkan karya patriotik serta lagu-lagu popular bagi mengekalkan momentum penonton sepanjang acara, selain pemilihan lagu oleh artis tanah air yang penting dalam membangkitkan mood sekali gus memberikan kepuasan kepada semua yang hadir.

Aishah Bee berkata, tahun ini JKKN dipertanggungjawabkan menyelaras acara pentas dengan keseluruhannya melibatkan lebih 200 penari dan tenaga produksi.

Beliau berkata, gerak kerja dan latihan telah dimulakan sejak bulan lepas dengan mengenal pasti kumpulan terlibat yang berupaya menampilkan persembahan bertaraf profesional.

“Kita ada membuat rujukan berdasarkan penganjuran terdahulu, yang mana sambutan Hari Malaysia sentiasa mengekalkan elemen wajib iaitu penglibatan lima kaum utama. Namun, penglibatan artis, kumpulan persembahan, pemilihan lagu serta kaedah pementasan dari segi jalan cerita dan paparan visual adalah elemen yang memberikan kelainan pada sambutan kali ini di Pulau Pinang,” katanya.

Sambutan Hari Malaysia 2025 bertemakan “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni” itu akan berlangsung pada 16 Sept di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth, dekat sini, dengan pelbagai pengisian menarik.

Acara itu bakal dimeriahkan dengan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan