Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 13 Sept (Bernama) -- Infrastruktur negara seperti sistem pengangkutan kereta api bukan sekadar menekankan struktur fizikal seperti keluli dan landasan.
Sebagai nadi kepada ekonomi negara, ia juga berupaya menjadi wadah kepada gaya hidup, warisan dan budaya.
Buktinya, ribuan rakyat Malaysia yang menyertai program Keretapi Sarong 2025 hari ini tampil menggayakan kain sarung pelbagai warna sekali gus mengubah rangkaian rel di Lembah Klang kepada satu sambutan yang meraikan perpaduan dan identiti.
Program itu diadakan bersempena dengan sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini.
Dari Kuala Lumpur Sentral hingga ke stesen-stesen di pinggir bandar, suasana di sepanjang laluan kereta api itu dipenuhi dengan semangat dan kemeriahan.
Peserta tanpa mengenal usia melemparkan senyuman ketika persembahan budaya tradisional diadakan di platform stesen manakala dalam koc pula, mereka yang mengenakan sarung bercorak petak dan batik berbunga kelihatan ceria sambil berswafoto.
Pengarah Institut Pengangkutan Malaysia (MiTRANS) merangkap pensyarah kanan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dr Wan Mazlina Wan Mohamed berkata sambutan itu menunjukkan bagaimana pengangkutan awam boleh mengatasi peranan asalnya.
“Rangkaian kereta api bukan sahaja menghubungkan lokasi malah ia menghubungkan manusia. Apabila ruang ini menjadi pentas untuk mengekspresikan budaya, ini membuktikan bahawa infrastruktur boleh menyatukan aktiviti ekonomi dan warisan negara,” katanya kepada Bernama.
Menurutnya program seperti Keretapi Sarong turut memberi manfaat ekonomi dan sosial yang lebih luas.
“Kita dapat melihat bagaimana budaya 'flash mob' atau persembahan kilat berkumpulan seperti ini merangsang ekonomi kreatif, mewujudkan permintaan terhadap tekstil tradisional dan mengeratkan hubungan komuniti.
“Ini selari dengan hasrat Malaysia untuk mempromosikan negara sebagai destinasi yang kaya dengan budaya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.
Wan Mazlina berkata pengintegrasian budaya dalam sistem mobiliti membantu menjadikan pengangkutan bukan sahaja sebagai kaedah pergerakan -- ia memberikan identiti dan membina rasa bangga.
Ketika kereta api merentas seluruh Lembah Klang, individu yang tidak dikenali menjadi teman -- disatukan oleh sehelai kain sarung yang suatu ketika dahulu melambangkan kehidupan harian di kampung dan kini ke bandar dan kota.
Bagi Engku Shariful Azni Engku Ab Latif, 31, yang sering menggunakan tren, beliau menyifatkan pengalaman hari ini sebagai sesuatu yang berbeza.
“Perjalanan saya lazimnya sunyi dan mengikut rutin. Saya cuma melihat telefon. Tetapi hari ini, suasana dalam tren terasa meriah dengan unsur sosial yang mencerminkan kepelbagaian di negara ini,” katanya.
Dengan kesediaan Malaysia menerima kehadiran pelancong antarabangsa menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, acara seperti Keretapi Sarong ini menekankan bagaimana infrastruktur negara, warisan dan gaya hidup boleh bersatu untuk menawarkan pengalaman yang dekat di hati rakyat negara ini dan pelawat antarabangsa.
Wan Mazlina pula berkata program ini menekankan bahawa mobiliti bukan sahaja mengenai kecekapan.
“Ia juga mengenai menghubungkan rakyat dengan budaya, kebanggaan mereka dan masa depan yang dikongsi bersama. Ini adalah sesuatu yang tidak ternilai,” katanya.
Keretapi Sarong bukan sekadar aktiviti menaiki tren malah menghubungkan semula warisan di samping menyambut Hari Malaysia dalam suasana yang meriah dan inklusif.
Acara ini menghimpunkan rakyat pelbagai peringkat umur dan latar belakang, yang mengenakan sarung atau pakaian tradisional untuk menonjolkan muzik, budaya dan tradisi bersama.
Para peserta berkumpul di stesen-stesen terpilih sebelum menuju ke "destinasi rahsia" yang hanya didedahkan pada hari acara ini diadakan, menjadikan perjalanan itu sebagai ekspresi penuh warna-warni mengenai perpaduan dan kebanggaan negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial