AM

Tiada Siasatan Aktif, Fail Dibuka Terhadap Azhari Berdasarkan Semakan Oktober 2024 - SPRM

10/09/2025 01:19 PM

PUTRAJAYA, 10 Sept (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menjelaskan bahawa tiada sebarang rekod siasatan aktif atau fail dibuka terhadap Pemangku Pengerusi Halal Development Corporation (HDC) Datuk Azhari Shaari, berdasarkan semakan yang dijalankan pada 30 Okt 2024.

Bahagian Komunikasi Strategik SPRM dalam satu kenyataan memaklumkan penjelasan itu dibuat susulan permohonan semakan tapisan keutuhan yang dikemukakan oleh HDC terhadap Azhari.

“Berdasarkan semakan SPRM pada 30 Okt 2024, didapati pada tarikh permohonan tersebut tiada sebarang rekod siasatan aktif atau fail terbuka terhadap penama.

“Maklum balas rasmi telah dikemukakan kepada pihak HDC pada 4 Nov 2024, memaklumkan secara faktanya bahawa tiada siasatan aktif sedang dijalankan oleh SPRM terhadap penama ketika itu,” menurut kenyataan itu.

SPRM bagaimanapun mengesahkan bahawa bagi tujuan rekod, Azhari pernah disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan dikenakan denda RM1,900 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 23 Okt 2023.

“Rekod sabitan tersebut masih wujud dalam Portal Data Pengkalan Rasuah SPRM,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, SPRM menegaskan bahawa setiap tapisan keutuhan yang dijalankan adalah bertujuan sebagai panduan kepada pihak pemohon dan tidak bersifat mengikat.

“SPRM menasihatkan semua pihak agar tidak membuat sebarang kenyataan atau spekulasi yang boleh mengelirukan atau menjejaskan proses semakan keutuhan yang dijalankan secara profesional dan berintegriti.

“SPRM komited untuk terus memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam setiap proses semakan dan siasatan yang dijalankan, selaras dengan prinsip integriti dan tadbir urus yang baik,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari dilapor mempersoalkan keberadaan Azhari dalam lembaga pengarah HDC.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan