DUNIA

Ringgit Rendah Berbanding Dolar AS Menjelang Laporan Inflasi AS

10/09/2025 08:02 PM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS pada Rabu berikutan pelabur mengambil keuntungan selepas mencatatkan kenaikan baru-baru ini, menjelang laporan inflasi Amerika Syarikat (AS) dikeluarkan minggu ini.

Data inflasi harga pengeluar AS dijadual dikeluarkan hari ini, diikuti laporan Indeks Harga Pengguna (IHP) pada Khamis.

Pada 6 petang, mata wang tempatan merosot kepada 4.2185/2220 daripada 4.2025/2080 semasa ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata peniaga berhati-hati terhadap laporan inflasi AS yang akan datang walaupun pasaran pekerjaan AS lemah. 

“Anggaran konsensus menjangka Indeks Harga Pengeluar (IHPR) keseluruhan kekal pada 3.3 peratus pada Ogos manakala IHPR teras dijangka menyederhana kepada 3.5 peratus daripada 3.7 peratus sebelum ini.

“Kami berpendapat peniaga berhati-hati mengenai kemungkinan angka tersebut lebih tinggi daripada jangkaan dan ini boleh mempengaruhi keputusan Rizab Persekutuan (Fed) AS minggu depan,” katanya kepada Bernama.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata semakan semula senarai gaji bukan ladang AS baru-baru ini menunjukkan pertumbuhan pekerjaan perlahan tetapi dolar AS mendapat sokongan daripada permintaan terhadap aset selamat selepas serangan Israel terhadap Hamas di Qatar.

“Peniaga menjajarkan kedudukan masing-masing menjelang IHP AS dikeluarkan, yang berpotensi mendorong kenaikan hasil AS jika inflasi melebihi jangkaan,” katanya.

Pada penutup dagangan, ringgit kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding euro kepada 4.9416/9457 daripada 4.9451/9516, naik berbanding yen kepada 2.8614/8639 daripada 2.8711/8751, bagaimanapun rendah berbanding pound kepada 5.7127/7174 daripada 5.7095/7170 semalam.

Bagaimanapun, mata wang tempatan kebanyakannya rendah berbanding mata wang ASEAN.

Ia merosot berbanding peso kepada 7.38/7.39 daripada 7.37/7.39 sebelum ini dan berkurangan berbanding dolar Singapura kepada 3.2883/2912 daripada 3.2824/2870.

Ringgit merosot berbanding baht kepada 13.2699/2872 daripada 13.2688/2925 dan rendah berbanding rupiah kepada 256.1/256.4 daripada 254.9/255.4.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan