DUNIA

Bursa Malaysia Teruskan Momentum Meningkat, Jejak Prestasi Wall Street

10/09/2025 10:23 AM

KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka dengan mencatat peningkatan kecil hari ini, sekali gus meneruskan aliran kenaikan bagi sesi ketiga berturut-turut dan menjejaki Wall Street yang dipacu oleh harapan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) akan menurunkan kadar faedah.

Perkembangan itu berlaku ketika pelabur sebaliknya menunggu pengumuman data inflasi utama yang akan diumumkan hari ini dan esok.

Pada 9.06 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik sebanyak 0.77 mata kepada 1,587.58 daripada 1,586.81, semalam. 

Sewaktu dibuka, indeks itu menokok 1.23 mata kepada 1,588.04.

Sentimen pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 168 berbanding 99 manakala 247 lain tidak berubah, 2,079 tidak diniagakan dan tujuh lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 104.41 juta saham bernilai RM55.65 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street mengakhiri urus niaga dengan lebih tinggi yang menyaksikan ketiga-tiga indeks utama mencecah paras tertinggi baharu susulan jangkaan pengurangan kadar faedah oleh Fed ketika pelabur menunggu pengumuman data inflasi utama.

“Sentimen pasaran turut didorong oleh pengukuhan di peringkat serantau selepas Citigroup memacu kenaikan indeks Hang Seng,” katanya.

Di peringkat tempatan, Thong berkata indeks penanda aras FBM KLCI terus berada dalam wilayah positif walaupun saham Maxis dan MISC diniagakan tanpa dividen yang hanya memaparkan nada pasaran kekal teguh.

“Kami percaya indeks penanda aras ini akan menguji semula paras 1,600 dalam masa terdekat dan dijangka bergerak dalam julat 1,585 hingga 1,600 hari ini,” katanya.

Saham wajaaran tinggi menyaksikan Maybank naik dua sen kepada RM10.06, Public Bank meraih satu sen kepada RM4.30, Tenaga Nasional menokok enam sen kepada RM13.16 dan IHH Healthcare menambah satu sen kepada RM6.95 manakala CIMB kekal pada RM7.16.

Bagi saham aktif, Classita naik satu sen kepada 9.5 sen dan warannya menokok setengah sen kepada 3.5 sen, NexG menambah setengah sen kepada 49 sen, waran OCK Group sebaliknya susut satu sen kepada lima sen manakala Cahya Mata Sarawak meningkat lima sen kepada RM1.25.

Kaunter paling untung termasuk United Plantations yang naik 22 sen kepada RM22.56, UWC meraih 14 sen kepada RM3.04, Petronas Gas menambah 10 sen kepada RM18.70 dan QL Resources meningkat enam sen kepada RM4.28.

Di pasaran meluas, Indeks FBM Emas naik 8.10 mata kepada 11,780.94, Indeks FBMT 100 menokok 7.81 mata kepada 11,545.30 dan Indeks FBM Emas Syariah meraih 13.10 mata kepada 11,759.16.

Indeks FBM 70 naik 20.73 mata kepada 16,489.09 manakala Indeks FBM ACE menokok 3.70 mata kepada 4,724.54.

Bagi sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.15 mata kepada 165.08, Indeks Perladangan susut 8.56 mata kepada 7,660.22 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 0.95 mata kepada 18,126.37 dan Indeks Tenaga meningkat 2.05 mata kepada 742.44.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan