DUNIA

Axiata, Tenaga Nasional, YTL Corp Dorong FBM KLCI Tinggi Semasa Rehat Tengah Hari

10/09/2025 02:03 PM

KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Sokongan belian kepada kaunter wajaran tinggi terpilih yang didahului Axiata, Tenaga Nasional dan YTL Corp telah mendorong kenaikan indeks utama sebanyak 0.16 peratus sebelum dagangan sesi pagi berakhir, pada Rabu.

Axiata dan Tenaga Nasional masing-masing meningkat 12 sen kepada RM2.62 dan RM13.22 manakala YTL Corp naik lima sen kepada RM2.59.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 2.48 mata kepada 1,589.29 daripada 1,586.81 ketika ditutup semalam.

Indeks itu dibuka 1.23 mata lebih tinggi kepada 1,588.04 dan diniagakan antara 1,585.21 hingga 1,590.12 sepanjang sesi pagi.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 459 berbanding 381, manakala 462 kaunter tidak berubah, 1,291 kaunter tidak diniagakan dan tujuh yang lain digantung.

Jumlah dagangan mencecah 1.64 bilion unit bernilai RM1.09 bilion.

Malacca Securities Sdn Bhd menjelaskan sokongan belian yang positif dijangka mendorong momentum kenaikan semula bagi pasaran tempatan, disokong oleh prestasi Wall Street semalaman yang baik.

“Semakan data pekerjaan Amerika Syarikat (AS) telah meningkatkan jangkaan terhadap pengurangan kadar faedah. Selain itu, pelaksanaan inisiatif LSS5+ baru-baru ini juga mungkin menyokong peserta utama sektor solar,” menurut nota penyelidikan itu.

Dalam kalangan kaunter wajaran tinggi, Maybank susut lima sen kepada RM9.99, Public Bank kekal pada RM4.29, CIMB naik lima sen kepada RM7.21, IHH Healthcare menambah enam sen kepada RM7.00, Press Metal meningkat tujuh sen kepada RM5.60 manakala Hong Leong Bank turun dua sen kepada RM20.08.

Bagi saham aktif, VS Industry susut sembilan sen kepada 55 sen, Classita naik satu sen kepada 9.5 sen, Pharmaniaga menambah satu sen kepada 22.5 sen dan Tanco menokok 1.5 sen kepada 80 sen.

Antara saham rugi, Nestle merosot 50 sen kepada RM95.60, Panasonic turun 31 sen kepada RM8.50, Dutch Lady susut 26 sen kepada RM27.14, Hong Leong Financial kurang 12 sen kepada RM17.26 dan Petronas Chemicals turun 11 sen kepada RM4.30.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 7.61 mata kepada 11,780.45, Indeks FBMT 100 meningkat 8.45 mata kepada 11,545.93 dan Indeks FBM Emas Syariah bertambah 13.07 mata kepada 11,759.13.

Indeks FBM 70 susut 30.32 mata kepada 16,438.04 manakala Indeks FBM ACE turun 13.10 mata kepada 4,707.74.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian kurang 1.14 mata kepada 164.09, Indeks Perladangan susut 17.39 mata kepada 7,651.39, dan Indeks Tenaga turun 2.71 mata kepada 737.68.

Indeks Perkhidmatan Kewangan pula susut 34.45 mata kepada 18,092.87.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan