JENAYAH & MAHKAMAH

Bekas Ejen Perumahan Didenda RM23,000 Tipu Skim Perumahan My Home

09/09/2025 06:43 PM

BUTTERWORTH, 9 Sept (Bernama) -- Seorang bekas ejen perumahan didenda RM23,000 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan menipu seorang individu berkaitan urusan pembelian rumah di bawah Skim Perumahan My Home, pada 2022.  

Hakim Zulhazmi Abdullah menjatuhkan hukuman tersebut selepas  A. Thirumurthi , 45, mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan dan turut memerintahkan penjara 19 bulan sekiranya gagal membayar denda. 

Thirumurthi mengaku menipu G. Muralidaran, 32, dengan memperdayakan mangsa kononnya dia terlibat dalam penjualan unit rumah di bawah Skim Perumahan My Home oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bernilai RM198,000.

Berikutan itu, Muralidaran memasukkan wang berjumlah RM7,393.60 menerusi lima transaksi ke dalam akaun bank Thirumurthi kerana percaya dengan dakwaan palsu tersebut di sebuah cawangan bank di Bertam, dekat sini, antara 24 Sept hingga 31 Okt 2022.

Kelima-lima pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Noor Azura Zulkiflee dan Muhammad Syahmi Mohd Sanusi, manakala Thirumurthi tidak diwakili peguam.

Noor Azura memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pengajaran memandangkan kesalahan dilakukan adalah serius.

Bagaimanapun, tertuduh merayu hukuman denda minimum atas alasan kini bekerja sebagai pemandu e-hailing dengan pendapatan kurang RM2,000 sebulan, selain perlu menanggung ibu, isteri dan tiga anak serta menghidap beberapa penyakit termasuk masalah jantung.

Zulhazmi kemudian menjatuhkan hukuman denda RM8,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda bagi pertuduhan pertama dan denda RM3,000 atau penjara tiga bulan bagi pertuduhan kedua, manakala denda RM5,000 atau penjara empat bulan masing-masing bagi pertuduhan ketiga dan keempat serta denda RM2,000 atau penjara dua bulan bagi pertuduhan kelima.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan