JENAYAH & MAHKAMAH

Beberapa Premis Di Jalan Mahkota, Kuantan Terbakar

10/09/2025 12:02 AM

KUANTAN, 9 Sept (Bernama) -- Beberapa premis di bangunan lama di Jalan Mahkota di sini terbakar malam ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Datuk Mohd Razam Taja Rahim berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.46 malam tadi.

Beliau berkata setakat 10.30 malam, kedai karpet dan bingkai di bangunan dua tingkat itu terbakar 90 peratus, manakala pihaknya masih menjalankan operasi pemadaman di premis sebuah persatuan yang terletak di tingkat atas serta sebuah lagi kedai.

“Tiada mangsa terlibat setakat ini dan punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata lebih 40 anggota dan pegawai terlibat dalam operasi yang dijalankan Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan, Taman Tas, Indera Mahkota dan Gebeng.

Tinjauan Bernama mendapati setakat 10.50 malam, kebakaran di bangunan berkenaan belum dipadamkan sepenuhnya namun berjaya dikawal daripada merebak ke premis lain.

Kebakaran berkenaan juga menyebabkan kesesakan lalu lintas akibat orang ramai memperlahankan kenderaan dan anggota polis bertindak mengawal laluan terbabit.

Sementara itu, peniaga dalam talian Shahriza Jamil, 29, berkata beliau yang kebetulan lalu di jalan itu terlibat percikan api keluar dari kedai karpet berkenaan. 

“Selepas itu api makin marak dengan kepulan asap keluar sebelum beberapa lagi jentera tiba untuk memadam kebakaran yang kemudiannya merebak di tingkat atas,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan