KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Bekalan Elektrik (Pindaan) 1990 dan RUU Suruhanjaya Tenaga (Pindaan) bertujuan mengawal selia aktiviti import serta eksport elektrik termasuk tenaga hijau berlandaskan kerangka kawal selia.
Turut diluluskan RUU Insolvensi Rentas Sempadan 2025 yang dirangka khusus untuk prosiding korporat, bukan individu bagi mengelakkan pertindihan dengan Akta Insolvensi 1967 serta menepati amalan antarabangsa.
Terdahulu, RUU Bekalan Elektrik (Pindaan) 2025 bacaan kali kedua diluluskan selepas dibahaskan tujuh Ahli Dewan Negara dengan lebih suara bersetuju.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata pindaan itu penting untuk memperkukuh aspirasi negara mencapai 70 peratus kapasiti penjanaan tenaga boleh baharu (TBB) menjelang 2050 serta menyokong inisiatif perdagangan tenaga rentas sempadan di bawah projek Grid Tenaga ASEAN.
Beliau menegaskan hanya lebihan tenaga akan dieksport bagi memastikan bekalan domestik kekal terjamin manakala sebarang hasil daripada aktiviti perdagangan akan disalurkan ke dalam Kumpulan Wang Industri Elektrik dan Dana Tenaga Hijau bagi menyokong usaha peralihan tenaga serta melindungi pengguna.
“Melalui mekanisme Energy Exchange Malaysia (ENEGEM) yang diperkenal tahun lepas, kerajaan telah menjalankan projek rintis menjual 50 megawatt ke Singapura. Harga ditentukan pasaran secara bidaan, sekali gus memberi pulangan lebih baik kepada negara,” katanya ketika menggulung perbahasan RUU itu.
Akmal Nasrullah turut menjelaskan aktiviti eksport dan import tenaga akan dipantau secara masa nyata bagi menjamin keselamatan grid, manakala lesen hanya diberikan mengikut kapasiti rangkaian sedia ada tanpa menjejaskan kestabilan bekalan elektrik dalam negara.
Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M Kulasegaran berkata kerajaan terbuka terhadap cadangan perluasan pemakaian RUU Insolvensi Rentas Sempadan (CBI) 2025 kepada insolvensi persendirian pada fasa seterusnya.
Namun kata beliau, ia memerlukan kajian lanjut memandangkan isu rentas sempadan lebih dominan melibatkan syarikat multinasional dan pelabur asing.
"RUU CBI Malaysia dirangka berasaskan UNCITRAL Model Law on Cross-Border Insolvency (MLCBI) yang pada asasnya lebih sesuai digunakan bagi syarikat atau badan korporat," katanya ketika menggulung RUU itu.
Mengenai penetapan nilai ambang, Kulasegaran berkata kerajaan sedang menjalankan kajian dengan mengambil kira skala hutang Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), nilai penggulungan syarikat sedia ada, kos litigasi serta keperluan melindungi kepentingan pemiutang tanpa menekan usahawan kecil.
Beliau turut menjelaskan bahawa pengecualian atas faktor dasar awam berfungsi sebagai "injap keselamatan" bagi membolehkan mahkamah menolak pengiktirafan prosiding asing yang bercanggah dengan kepentingan nasional, sekali gus selaras dengan amalan negara lain seperti Singapura.
Menurut beliau, pendekatan itu memberi ruang kepada institusi kehakiman untuk membentuk prinsip undang-undang berkaitan kepentingan awam melalui alasan penghakiman yang matang, telus dan sesuai dengan kerangka perlembagaan negara.
Kulasegaran turut menegaskan bahawa RUU itu tidak menghakis kedaulatan undang-undang negara, sebaliknya memperkukuh peranan Mahkamah Tinggi Malaysia dalam mendepani cabaran insolvensi rentas sempadan menerusi prinsip akses, bantuan, pengiktirafan serta penyelarasan dan kerjasama dengan mahkamah luar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial