KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Saham-saham di Bursa Malaysia mencatat prestasi bercampur-campur pada tengah hari ini dengan indeks petunjuk utama susut 0.11 peratus, namun pasaran secara meluas kekal dalam wilayah positif.
Perkembangan itu dicatatkan ketika pelabur lebih menumpukan trajektori kemungkinan pihak Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) bertindak menurunkan kadar faedah utamanya.
Pada 12.30 tengah hari, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun sebanyak 1.87 mata kepada 1,583.72 daripada paras penutup 1,585.59.
Indeks berkenaan dibuka mengukuh 1.39 mata kepada 1,586.98 dan diniagakan dalam julat 1,582.57 hingga 1,587.53 pada sesi dagangan pagi ini.
Sentimen pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 424 berbanding 398 manakala 495 tidak berubah, 1,276 tidak diniagakan dan lapan lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan sebanyak 1.89 bilion unit bernilai RM1.20 bilion.
Sementara itu, Apex Securities Bhd yang memetik laporan berkata data pekerjaan AS bagi Ogos yang lebih lemah daripada dijangkakan, hanya meletakkan kecenderungan sebanyak 88 peratus membabitkan kemungkinan pengurangan sebanyak 25 mata atas diputuskan pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) bulan ini dengan kemungkinan 12 peratus bagi penurunan lebih besar sebanyak 50 mata asas.
“Sehubungan itu, pengumuman data Indeks Harga Pengguna (IHP) AS pada Khamis akan dipantau rapat dengan sebarang angka lebih rendah berkemungkinan besar mengukuhkan lagi jangkaan kitaran pelonggaran dasar yang lebih agresif,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Di peringkat domestik, Apex Securities menjangkakan beberapa ketidaktentuan dalam pergerakan FBM KLCI selain menjejaki prestasi Wall Street, walaupun kadar faedah AS akan memberi sokongan terhadap ringgit dan mendorong aliran masuk dana ke dalam pasaran tempatan.
“Sehubungan itu, angka inflasi AS yang lebih kukuh daripada jangkaan awal sebaliknya hanya mencetuskan kebimbangan berlakunya pasaran yang tepu dan menjejaskan sentimen,” katanya.
Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank menokok dua sen kepada RM10.02, CIMB susut 10 sen kepada RM7.17, Tenaga Nasional turun 14 sen kepada RM13.18 manakala Public Bank, IHH Healthcare, CelcomDigi serta Petronas Gas masing-masing tidak berubah pada RM4.28, RM6.92, RM3.68 dan RM18.54.
Bagi saham aktif, Pharmaniaga meraih dua sen kepada 21.5 sen, Zetrix AI dan Velesto masing-masing turun setengah sen kepada 85.5 sen dan 21 sen, Tanco rugi 3.5 sen kepada 77.5 sen namun BCM Alliance kekal pada setengah sen.
Kaunter rugi menyaksikan Malaysia Pacific Industries kehilangan 28 sen kepada RM27.80, Allianz turun 18 sen kepada RM17.80, Vitrox susut 17 sen kepada RM3.62 manakala Petronas Dagangan dan United Plantations masing-masing menguncup 12 sen kepada RM22.02 dan RM22.48.
Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas susut 12.10 mata kepada 11,749.92, Indeks FBMT 100 turun 13.27 mata kepada 11,513.97 dan Indeks FBM Emas Syariah berkurangan 3.70 mata kepada 11,731.85.
Indeks FBM 70 susut 17.49 mata kepada 16,429.97 manakala Indeks FBM ACE merosot 38.10 mata kepada 4,730.86.
Prestasi sektor menyaksikan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.46 mata kepada 165.21, Indeks Perladangan menokok 14.82 mata kepada 7,651.18 dan Indeks Tenaga meraih 0.25 mata kepada 740.57.
Bagaimanapun, Indeks Perkhidmatan Kewangan menguncup sebanyak 39.41 mata kepada 18,086.42.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial