KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Cahya Mata Sarawak Bhd mengumumkan bekalan elektrik ke kompleks fosfatnya di Taman Perindustrian Samalaju, Bintulu, Sarawak, telah dipulihkan hari ini, membolehkan aktiviti penyediaan loji disambung semula.
Kompleks fosfat seluas 142 hektar itu dioperasikan oleh anak syarikat milik penuhnya, Cahya Mata Phosphates Industries Sdn Bhd, yang mengeluarkan fosforus kuning (YP), asid fosforik gred teknikal (TPA) dan asid fosforik gred makanan (FGA) dengan tahap ketulenan 99.9 peratus.
Pengarah Urusan Kumpulan Cahya Mata Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Taib berkata penyambungan semula bekalan elektrik ke kompleks fosfat menandakan satu langkah penting ke arah pengkomersialan operasi.
“Projek ini akan membantu Malaysia merealisasikan loji fosfat pertamanya, meningkatkan keselamatan makanan di dalam negara dan membina daya tahan merentas rantaian bekalan serantau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Loji itu yang dikuasakan terutamanya oleh tenaga hidro boleh baharu Sarawak, akan memulakan semula operasi melalui peningkatan berperingkat dan dijangka mencapai kapasiti penuh pada separuh pertama 2026 setelah memenuhi semua piawaian keselamatan, kualiti dan prestasi.
YP disasarkan untuk kegunaan domestik dan eksport ke Jepun, Korea Selatan, India, Taiwan dan Eropah, manakala TPA dan FGA akan meliputi pasaran tempatan serta Thailand, Jepun dan Indonesia.
Terletak secara strategik untuk memenuhi permintaan domestik dan pasaran eksport serantau, kemudahan itu akan menghasilkan 48,000 tan YP, 75,000 tan TPA dan 60,000 tan FGA setiap tahun apabila beroperasi pada kapasiti penuh.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial