AM

Anutin Beri Jaminan Hormati Keamanan Thailand-Kemboja - PM Anwar

09/09/2025 07:31 PM

MELAKA, 9 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa Perdana Menteri Thailand yang baharu dilantik, Anutin Charnvirakul, menunjukkan komitmen untuk memastikan keamanan antara Thailand dan Kemboja terus terpelihara.

Anwar berkata perkara itu disampaikan kepadanya menerusi perbualan telefon bersama Anutin awal minggu ini.

“Beliau memberi jaminan bahawa komitmennya untuk memastikan keamanan antara Kemboja dan Thailand akan terus dihormati serta dipelihara,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) ke-19 di sini, hari ini.

Menurut Anwar, perbincangan mereka turut menyentuh mengenai kerjasama antara negara anggota.

“ASEAN amat berbesar hati memberikan pengiktirafan itu sebagai sokongan terhadap usaha yang kita jalankan,” katanya.

Anutin, 58, yang juga Ketua Parti Bhumjaithai, secara rasmi mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Thailand ke-32 pada Ahad lalu selepas menerima perkenan diraja, sekali gus membuka lembaran baharu kepimpinan politik negara itu.

Pada 28 Julai lalu, Anwar selaku Pengerusi ASEAN mempengerusikan mesyuarat khas di kediaman rasmi Perdana Menteri Malaysia, Kompleks Seri Perdana, Putrajaya, yang dihadiri Perdana Menteri Kemboja Hun Manet serta Pemangku Perdana Menteri Thailand ketika itu, Phumtham Wechayachai.

Mesyuarat selama dua jam setengah itu merupakan pertemuan bersemuka pertama mereka selepas tercetus ketegangan antara kedua-dua negara jiran pada 24 Julai.

Pada sidang media bersama selepas mesyuarat itu, Anwar mengumumkan bahawa Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata segera tanpa syarat di tengah-tengah ketegangan yang memuncak di sepanjang sempadan pertikaian.

Kedua-dua negara kini giat berusaha memastikan keamanan berkekalan di sepanjang sempadan darat sejauh 817 kilometer yang sering menjadi punca pertikaian sehingga membawa kepada pertempuran ketenteraan, khususnya di kawasan sempadan Oddar Meanchey dan Preah Vihear.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan