KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) -- Sebanyak 10 agensi perisikan pertahanan ASEAN menyertai Pesidangan Ketua Perisikan Pertahanan ke-2 (AMICLC 2) dan Mesyuarat Perisikan Pertahanan ASEAN ke-22 (AMIM 22) yang berlangsung di ibu negara dua hari bermula semalam.
Bertemakan “Kelestarian Kerjasama Perisikan ASEAN Yang Inklusif”, persidangan anjuran Organisasi Perisikan Pertahanan Malaysia (MDIO) itu telah mengukuhkan komitmen ASEAN dalam membina ekosistem risikan kolektif yang lebih responsif, telus dan berdaya tahan.
Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan MDIO Left Jen Datuk Mohd Razali Alias berkata penganjuran oleh Malaysia itu menegaskan peranan negara sebagai rakan strategik dan pemaju diplomasi pertahanan serantau.
“Sidang ini bukan sekadar memperkukuh keupayaan risikan kolektif ASEAN tetapi juga membina asas diplomasi perisikan pertahanan yang mampu menjamin kestabilan, kepercayaan dan keamanan rantau dalam menghadapi cabaran geopolitik abad ke-21,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata AMICLC 2 menyediakan ruang dialog strategik berprofil tinggi antara pemimpin perisikan pertahanan ASEAN membincangkan isu keselamatan serantau, cabaran tradisional dan bukan tradisional serta perkongsian pengalaman kritikal.
“Ia menjadi wadah diplomasi ketenteraan yang memperkukuh persefahaman strategik, meningkatkan kepercayaan bersama dan membolehkan negara anggota memanfaatkan daripada pengalaman negara lain,” katanya.
Mohd Razali berkata AMIM 22 menjadi mekanisme teknikal yang menyelaras perkongsian maklumat risikan, penilaian ancaman bersama dan koordinasi tindak balas terhadap cabaran keselamatan bersifat rentas sempadan, dengan fokus utamanya adalah ancaman keganasan, jenayah terancang dan ekstremisme.
“Platform ini memperkukuh profesionalisme perisikan melalui latihan bersama, pertukaran kepakaran dan pembangunan rangkaian komunikasi yang selamat,” katanya.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial