AM

AMMTC Ke-19 Dijangka Sahkan Pelan Tindakan Perangi Jenayah Transnasional 2026-2035

08/09/2025 01:36 PM

MELAKA, 8 Sept (Bernama) -- Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) ke-19 kali ini dijangka mengesahkan Pelan Tindakan ASEAN dalam Memerangi Jenayah Transnasional 2026-2035.

Setiausaha Bahagian Antarabangsa, Kementerian Dalam Negeri (KDN) Azlan Razali berkata mesyuarat yang berlangsung di Melaka ini amat signifikan kerana pelan tindakan ASEAN berkenaan bagi tempoh 2016-2025 akan tamat pada hujung tahun ini.

“Rangkaian mesyuarat bermula dengan persediaan Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (SOMTC) yang menghimpunkan pegawai kanan, sebelum diteruskan dengan sesi utama peringkat menteri yang dipengerusikan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

"Antara inisiatif penting yang akan dimuktamadkan termasuklah penubuhan Kumpulan Kerja SOMTC mengenai Pengubahan Wang Haram, penerimaan Pelan Hala Tuju Kerjasama Pengurusan Sempadan ASEAN dan pengisytiharan penting seperti Deklarasi Melaka dalam Memerangi Jenayah Transnasional,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata menteri-menteri turut dijangka memperakukan beberapa deklarasi pemimpin ASEAN meliputi penguatkuasaan undang-undang rentas sempadan, pencegahan pengubahan wang haram serta inisiatif kreatif melalui aktiviti sukan bagi mengekang ekstremisme ganas.

“Selain agenda substantif, mesyuarat ini juga membuka ruang untuk mengukuhkan sokongan politik bagi proses penyertaan Timor-Leste ke dalam ASEAN. 

“Negara itu kini giat menyiapkan langkah perundangan untuk menyertai Konvensyen ASEAN bagi Memerangi Keganasan (ACCT) dan Konvensyen ASEAN bagi Menentang Pemerdagangan Orang, Terutama Wanita dan Kanak-Kanak (ACTIP) sebagai sebahagian daripada perjalanan menuju keahlian penuh yang dijangka dimuktamadkan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober akan datang,” menurut kenyataan itu.

Melaka menjadi tumpuan rantau ini apabila menteri-menteri dan pegawai-pegawai kanan ASEAN yang bertanggungjawab dalam keselamatan dan pembanterasan jenayah rentas sempadan berkumpul dari 8 hingga 12 September bagi menghadiri AMMTC ke-19 dan mesyuarat berkaitan.

AMMTC ke-19 dan mesyuarat berkaitan diadakan bersempena dengan Kepengerusian ASEAN 2025 bertemakan "Keterangkuman dan Kemampanan", yang mencerminkan komitmen negara untuk membina komuniti ASEAN yang lebih selamat dan makmur.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan