BERITA TERGEMPAR | Earthquake: 15 government buildings in Segamat suffered minor damage, estimated repair cost is RM550,550 - Ahmad Maslan | |
KOTA BHARU, 8 Sept (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan mengakui masih terdapat anggota bomba di negeri ini yang belum memiliki kemahiran asas renang.
Pengarah JBPM Kelantan Farhan Sofyan Borhan berkata sebelum ini seramai 88 anggota dikenal pasti tidak memiliki kemahiran tersebut namun jumlah itu berjaya dikurangkan kepada 53 orang selepas beberapa siri latihan dijalankan.
“Berenang amat penting kerana anggota bomba ialah petugas pertama (first responder) dalam setiap kecemasan khususnya ketika banjir. Bagi saya, ia satu kemahiran wajib dimiliki, bagaimana mahu menyelamatkan mangsa jika anggota sendiri tidak pandai berenang.
“Kita sasarkan tahun ini semua anggota mampu berenang kecuali yang mempunyai kekangan fizikal,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan JBPM Kelantan Bulan September hari ini.
Beliau berkata ketika ini pihaknya hanya memiliki sebuah kolam renang yang masih dalam proses naik taraf justeru perlu mencari alternatif lain termasuk mengadakan latihan di tasik atau sungai.
Dalam majlis sama, Farhan Sofyan berkata sebanyak 11 bot diserahkan kepada Bomba Sukarela dan Bomba Komuniti sebagai sebahagian daripada persediaan awal menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula November ini.
“Walaupun sekarang Monsun Barat Daya yang biasanya kurang hujan, kita dapati kekerapan hujan agak tinggi. Apa yang dibimbangkan ialah kemungkinan berlaku banjir kilat atau pokok tumbang.
“Dalam tempoh lima tahun lalu, di Kelantan sahaja seramai 109 nyawa terkorban akibat lemas justeru kita turut mengadakan aktiviti sokongan asas hidup dan program kesedaran bagi mengelak insiden di sungai, tasik mahupun pantai,” katanya.
Menurut beliau antara kawasan yang dikenal pasti berisiko kepala air ialah Jeli dan Kuala Krai manakala insiden lemas di pantai kerap berlaku di Bachok sehingga memerlukan penubuhan pasukan bomba bantuan melibatkan orang awam di kawasan berkenaan.
Mengenai isu penyalahgunaan dadah dalam kalangan anggota, Farhan Sofyan menegaskan setakat tahun ini tiada anggota bomba di Kelantan dikesan terbabit isu itu, namun ujian air kencing secara mengejut akan terus dijalankan di semua balai dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan.
“Tahun lepas hanya satu kes dikesan dan tindakan mahkamah sedang diambil. Untuk tahun ini, kita mahu pastikan tiada penglibatan langsung dengan dadah dan usaha pemantauan akan diteruskan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial