BERITA TERGEMPAR   Earthquake: 15 government buildings in Segamat suffered minor damage, estimated repair cost is RM550,550 - Ahmad Maslan | 
 AM

Masjid, Sekolah Di Kampung Seri Kaya Dinaik Taraf Inisiatif Kampung Angkat MADANI

08/09/2025 03:51 PM

PARIT, 8 Sept (Bernama) -- Kariah Masjid Ar-Rahmah dan warga Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kaya di Kampung Seri Kaya di sini boleh menarik nafas lega apabila projek naik taraf dua kemudahan tersebut dilaksanakan di bawah inisiatif Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI. 

Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia Datuk Ahmad Husaini Abdul Rahman berkata projek yang bermula Jun lepas itu dijangka siap sepenuhnya menjelang hujung Disember ini melibatkan kos kira-kira RM1 juta. 

“Projek menaik taraf fasiliti utama di Masjid Ar-Rahmah telah dilaksanakan antaranya melibatkan pembinaan dewan terbuka masjid, kerja mengecat bumbung masjid, pembaikan siling, pembaikan pendawaian elektrik, menaik taraf longkang masjid dan lampu solar di kawasan perkuburan Islam.

“Bagi SK Seri Kaya, kerja menaik taraf meliputi dataran perhimpunan sekolah, ruang kantin berbumbung dan pemasangan alat pendingin hawa di dewan dan pusat sumber sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Lawatan Kerja ke Pelaksanaan Projek Kampung Angkat dan Sekolah Angkat MADANI di Kampung Seri Kaya di sini hari ini.

Pada majlis sama Ahmad Husaini turut menyampaikan sumbangan kepada 21 pelajar asnaf di SK Seri Kaya bertujuan membantu meringankan perbelanjaan persekolahan mereka.

Sementara itu, beliau berkata projek naik taraf itu juga dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Perak, Jabatan Pendidikan Negeri serta Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Daerah Seri Iskandar.

Selain itu, katanya usaha itu adalah sebahagian daripada pendekatan keseluruhan kerajaan dalam memastikan penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.

Program Kampung Angkat MADANI ialah inisiatif kerajaan untuk merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar dengan penyediaan kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik, jalan raya, lampu jalan, akses internet dan fasiliti komuniti di kampung-kampung terpilih.

Sekolah Angkat MADANI pula adalah inisiatif yang bertujuan merapatkan jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar.

Kedua-dua program itu membabitkan kerjasama erat antara agensi kerajaan, institusi pendidikan dan sektor swasta untuk memberikan sokongan jangka panjang dalam lima bidang utama iaitu infrastruktur, akademik, latihan guru, bantuan kewangan serta pembangunan sahsiah pelajar.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan