PUTRAJAYA, 8 Sept (Bernama) -- Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menerusi Arkib Negara Malaysia (ANM) buat julung kalinya menubuhkan Majlis Sejarawan Negara iaitu sebuah badan berautoriti yang berperanan menasihati kerajaan berhubung naratif sejarah negara.
Dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang selaku timbalan pengerusi, majlis itu dianggotai 17 orang terdiri daripada 10 pakar sejarah, dua pakar arkeologi, dua pakar antropologi dan sosiologi serta masing-masing seorang wakil daripada KPN, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Pendidikan (KPM).
Keanggotaan mereka adalah bagi tempoh dua tahun bermula 1 Ogos 2025 hingga 31 Julai 2027.
Antara yang dilantik ialah Pensyarah (Bersara) Universiti Malaya (UM) Prof Emeritus Datuk Dr Ahmat Adam dan Penyandang Kursi Sultan Mizan Zainal Abidin, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Prof Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali.
Turut dilantik Pengerusi Felo Kenegaraan Dewan Kenegaraan, Pejabat Perdana Menteri Prof Emeritus Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman dan Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM Prof Datuk Dr Danny Wong Tze Ken.
Pensyarah (Bersara) UM Prof Dr S.R Sivachandralingam, Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Profesor Madya Dr Asyaari Muhamad, Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Dr Stephen Chia Ming Soon dan Pengarah Institut Pengajian Asia Borneo (IBS) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Profesor Dr Poline Bala juga dilantik sebagai anggota majlis berkenaan, selain Ketua Setiausaha KPN Datuk Haslina Abdul Hamid, Ketua Setiausaha KPT Datuk Dr Anesee Ibrahim dan Ketua Setiausaha KPM Datuk Dr Aminuddin Hassim.
Pada majlis hari ini, Anwar menyerahkan watikah pelantikan kepada 17 anggota majlis tersebut.
Aaron dalam ucapannya berkata penubuhan majlis itu sebagai sebuah entiti yang mengawal selia aspek kajian, rujukan sumber, penulisan, penerbitan, pendidikan sejarah serta advokasi berkaitan sejarah negara adalah amat penting bagi memastikan kestabilan, keamanan, keharmonian dan perpaduan negara terus terpelihara.
"Pada masa yang sama, Majlis Sejarawan Negara turut berperanan untuk menjamin agar penemuan serta sumbangan pelbagai pihak dalam sejarah dan pembangunan negara direkodkan.
"Langkah kerajaan menubuhkan majlis ini adalah inisiatif strategik negara sejajar untuk membangunkan identiti nasional yang kukuh dan berpaksikan sejarah, memastikan ketepatan fakta sejarah dalam wacana awam dan pendidikan serta menyediakan wadah profesional kepada sejarawan," katanya.
Penubuhan Majlis Sejarawan Negara telah dicadangkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semasa perasmian Konvensyen Sejarah Negara dan Perpaduan Nasional tahun lepas.
Menurut Aaron kementeriannya telah mengangkat penubuhan majlis itu kepada Jemaah Menteri dan diluluskan pada 24 Jan lepas.
Sementara itu, KPN dalam kenyataan memaklumkan Majlis Sejarawan Negara turut berperanan dalam menjana pemikiran dan idea baharu untuk memantapkan pendidikan sejarah yang inklusif selaras dengan identiti Malaysia sebagai negara berbilang kaum serta mengesyorkan pemerkasaan penggunaan sumber sejarah yang berautoriti dan berintegriti dalam penulisan sejarah negara.
"KPN terus menyokong usaha ke arah pembinaan naratif sejarah yang mencerminkan kepelbagaian dan penyatuan, agar generasi akan datang dapat mempelajari sejarah negara berasaskan fakta yang sahih serta dapat dibuktikan dengan jelas," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial