BERITA TERGEMPAR   Earthquake: 15 government buildings in Segamat suffered minor damage, estimated repair cost is RM550,550 - Ahmad Maslan | 
 AM

RUU Tribunal Antibuli Dijangka Dibentang Di Parlimen Oktober Ini - Azalina

07/09/2025 11:15 PM

KOTA TINGGI, 7 Sept (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Tribunal Antibuli dijangka dibentangkan pada sidang Parlimen Oktober ini, lebih awal daripada tempoh enam bulan yang diberikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata ketika ini, kementeriannya sedang melaksanakan siri jelajah dan sesi libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan sebelum perkara itu dibentangkan kepada Jemaah Menteri yang dijangka pada hujung bulan ini.

“Atas persetujuan beberapa menteri yang terlibat secara langsung dan tidak langsung seperti Menteri Pendidikan, Menteri Pendidikan Tinggi, Menteri Pertahanan, Menteri Komunikasi, kita harap bulan September ini kita boleh selesaikan jerayawara.

“Kita harap dapat keputusan Kabinet pada hujung September atau awal Oktober supaya rang undang-undang ini boleh dibawa ke persidangan Parlimen pada Oktober ini,” katanya pada sidang media Konvensyen Bantuan Guaman Kanak-Kanak Peringkat ASEAN (ACLAC) 2025 di Pusat Persidangan Desaru Coast, di sini hari ini.

Azalina berkata melalui sesi jelajah itu, kerajaan mahu mendengar pandangan orang ramai mengenai cadangan penubuhan tribunal berkenaan kerana langkah itu dilihat mampu mempercepat pendengaran kes berbanding proses mahkamah yang mengambil masa panjang.

“Tribunal ini lebih luas kuasanya … boleh lihat semua inti pati dan ada juga mungkin dalam elemen tribunal itu boleh tengok kepada aspek ganti rugi seperti membayar denda.

“Kemungkinan, kita nak ukur dalam aspek hukuman itu tidak semestinya penjara, mungkin kena bayar denda, mungkin kena pergi kursus … jadi, aspek lebih luas dan kepentingan tribunal kalau disetujui kerajaan ialah (prosesnya) cepat,” katanya.

Menurut Azalina, sebuah portal khas turut akan dilancarkan bagi mendapatkan pandangan masyarakat, selain sesi libat urus bersama dengan badan profesional termasuk Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak, Majlis Peguam (Malaysian Bar), bar negeri, pertubuhan antarabangsa serta pakar berkaitan.

Beliau menegaskan bahawa tribunal itu bukan semata-mata bertujuan menghukum, sebaliknya turut memberikan ruang kepada proses rehabilitasi kepada mangsa dan pelaku melalui pendekatan keadilan restoratif.

“Kalau kita ada sistem tribunal yang cepat, orang nak melakukan (perkara) itu dia kena fikir banyak kali sebab dia tahu cepat. Itulah sebab kes gangguan seksual, saya tengok kesannya menerusi tribunal di bawah Akta Gangguan Seksual itu respons sangat positif sebab (prosesnya) cepat,” katanya.

Azalina diberi tempoh enam bulan oleh Ahmad Zahid untuk membentangkan kertas cadangan kepada Jemaah Menteri berhubung penggubalan RUU Tribunal Antibuli, selepas menjalankan sesi libat urus bersama dengan semua pihak berkepentingan di seluruh negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan