MERSING, 7 Sept (Bernama) -- Keupayaan merealisasi idea, menambah nilai kemahiran serta meneroka ruang baharu secara eksperimen menjadi kunci kejayaan dalam landskap pekerjaan masa hadapan, kata Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor Aznan Tamin.
Beliau berkata antara jalan terbuka luas ialah keusahawanan berasaskan kemahiran yang bukan sahaja memberi ruang untuk berdikari, malah mampu menjana pendapatan lebih baik dengan aturan kerja fleksibel.
Aznan berkata graduan kini bukan hanya pencari kerja, tetapi pada masa sama mencipta peluang pekerjaan untuk diri sendiri dan orang lain.
"Semangat keusahawanan dalam kalangan graduan Kolej Komuniti kini dilihat semakin menyerlah, kita melihat inisiatif seperti bengkel bergerak, e-dagang desa, perkhidmatan kejuruteraan rumah ke rumah selain tempahan berunsurkan khidmat dan produksi.
"Anda (graduan) adalah ejen revolusi sosial. Banyak pelajar kita kini menjadi usahawan mikro, penggerak komuniti digital, pembimbing dalam bidang pertanian pintar, tukang jahit dan juruteknik profesional yang menyumbang secara langsung kepada produktiviti negara," katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Johor 2025 berlangsung di Politeknik Mersing di sini hari ini.
Aznan berkata graduan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) juga merupakan wira ekonomi senyap yang menjana semula nadi industri dan masyarakat melalui pelbagai bidang penting termasuk kulinari dan hospitaliti, teknologi automotif, fesyen serta rekaan, teknologi maklumat dan digital, penjagaan kesihatan serta keusahawanan.
Beliau berkata teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), Internet Kebendaan (IoT), Analitik Data Besar, Large Language Model (LLM) dan automasi membentuk sebahagian besar sektor pekerjaan.
"Kita kini berada dalam era revolusi kemahiran dengan TVET bukan lagi pilihan kedua, tetapi laluan utama dalam membina negara lestari dan berdaya saing.
"Dunia hari ini bukan lagi dunia yang kita kenal 10 tahun lepas...kita tidak hanya perlu menyesuaikan diri dengan perubahan ini, sebaliknya para graduan perlu menguasai dan mengintegrasikannya secara kreatif dan inovatif dalam sektor pekerjaan yang akan diceburi," katanya.
Pada majlis berkenaan, sebanyak 615 graduan menerima Diploma dan Sijil masing-masing.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial