EKONOMI

Konsortium Citaglobal-Masdar Disenarai Pendek Untuk Projek Solar 200MW Di Pahang

04/09/2025 08:44 PM

KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Sebuah konsortium yang terdiri daripada anak syarikat milik penuh Citaglobal Bhd, Citaglobal Renewable Energy Sdn Bhd dan Abu Dhabi Future Energy Company PJSC (Masdar) telah disenarai pendek untuk membangunkan loji fotovoltaik solar berskala besar (LSS).

Konsortium berkenaan disenarai pendek oleh Suruhanjaya Tenaga Malaysia untuk projek LSS dengan kapasiti 200 megawatt (MW) di Empangan Chereh, Kuantan, Pahang. 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Citaglobal berkata konsortium berkenaan menerima surat pemberitahuan tertakluk kepada beberapa terma dan syarat tertentu, termasuk pelaksanaan perjanjian pembelian tenaga solar selama 21 tahun dengan Tenaga Nasional Bhd.

“Loji berkenaan juga dijadualkan memulakan operasi komersial pada 30 November, 2027,” katanya.

Apabila siap, loji di Empangan Chereh akan menjadi kemudahan tenaga solar terapung terbesar di Asia Tenggara, mengatasi loji Solar Terapung Cirata berkapasiti 145 MW arus ulang-alik (MWac) di Indonesia, yang dibangunkan oleh Masdar dan PT PLN Nusantara Power.

Meliputi kira-kira 303.51 hektar permukaan air, loji di Empangan Chereh akan mempunyai kapasiti penjanaan melebihi 300 MW puncak (MWp) dan dijangka menghasilkan purata 433 gigawatt-jam (GWh) tenaga elektrik bersih setiap tahun yang mampu membekalkan tenaga kepada lebih 100,000 rumah di Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan