Oleh Saraswathi Muniappan
KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) – Lonjakan 35 peratus nilai jenama Tenaga Nasional Bhd (TNB) kepada US$2.3 bilion (US$1 = RM4.22) dalam laporan Energy 100 2025 Brand Finance baru-baru ini menunjukkan keyakinan kukuh pasaran terhadap daya tahan kewangan dan kecekapan operasinya.
Menerusi laporan itu, TNB juga mengekalkan kedudukannya sebagai jenama utiliti kedua paling kukuh di ASEAN, mencapai penarafan jenama AAA dengan skor Indeks Kekuatan Jenama (BSI) 88.9/100.
Kedudukan TNB yang disenaraikan sebagai antara firma utiliti utama di Asia Tenggara oleh perunding penilaian jenama terkemuka dunia itu juga menunjukkan sokongan padu terhadap kredibiliti Malaysia dalam usaha peralihan tenaga ke arah kemampanan.
Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata keyakinan itu diperkukuhkan lagi dengan agihan dividen sebanyak RM1.5 bilion pada Separuh Pertama 2025, yang memberi manfaat secara langsung kepada pelabur institusi terbesar Malaysia, iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Khazanah Nasional Bhd, Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).
Ini seterusnya menunjukkan kepentingan TNB sebagai peneraju komersial dan juga tunjang sistemik dalam ekonomi negara.
Secara strategiknya, pendekatan "Future Back" TNB telah menyelaraskan visinya dengan anjakan tenaga global jangka panjang ke arah penyahkarbonan, pembekalan tenaga elektrik dan pendigitalan.
“Penyelarasan ini telah mencipta kelebihan: kecemerlangan operasi mengukuhkan kepercayaan pemegang kepentingan, yang seterusnya menguatkan kedudukan daya saing dan ekuiti jenama, sekali gus menarik modal dan memperkukuh daya tahan kewangan,” katanya kepada Bernama ketika diminta mengulas mengenai kedudukan tinggi TNB di peringkat serantau itu.
Mohd Sedek berkata BSI yang sangat tinggi iaitu pada 88.9/100 mencerminkan dinamik ini dalam amalan syarikat: kebolehpercayaan yang mampan untuk 10.5 juta pelanggan, digabungkan dengan pemasaran bersasar dan pelaburan reputasi, telah melonjakkan kedudukan TNB jauh melepasi penanda aras utiliti tradisional.
Beliau berkata dengan menguasai 51 peratus bahagian pasaran di Semenanjung Malaysia, nilai jenama bukan sekadar aset reputasi tetapi instrumen strategik dalam menggerakkan pelaburan dan menyokong keutamaan dasar Malaysia.
“Dalam penilaian saya, pencapaian ini mengukuhkan TNB sebagai peneraju dalam peralihan tenaga Malaysia,” kata Sedek.
Dalam laporan itu, Pengarah Urusan Brand Finance bagi Asia Pasifik Alex Haigh berkata prestasi kukuh TNB dan beberapa syarikat ASEAN lain mencerminkan cara jenama tenaga di rantau ini bukan sahaja bersaing di peringkat global malah juga menerajui usaha menyepadukan kemampanan dengan strategi jenama masing-masing.
“Sesuatu yang memberangsangkan apabila menyaksikan pelaburan dalam inovasi hijau dan kepercayaan pihak berkepentingan kini diterjemahkan kepada nilai dan kekuatan jenama yang ketara.
“Kalangan jenama ini membuktikan komitmen yang jelas terhadap peralihan tenaga adalah satu kelebihan dari segi strategi dan reputasi,” katanya.
Mengenai penarafan AAA terhadap jenama, Mohd Sedek berkata: “saya ingin mengaitkan strategi TNB dengan model ‘Inovasi kepada Kesan’ yang menyerlahkan keupayaan syarikat untuk mengubah penyelidikan dan pembangunan kepada nilai jenama dan hasil syarikat yang ketara”.
Model itu melangkaui penyelidikan dan pembangunan tradisional dengan memastikan inovasi tidak terhad kepada projek rintis dan makmal sahaja malah disepadukan secara sistematik dengan operasi, penglibatan pelanggan dan inisiatif kemampanan.
“Menerusi penggunaan grid pintar, peningkatan kapasiti tenaga boleh baharu dan pelaburan dalam penyelesaian digital, TNB telah membuktikan inovasi boleh diterjemahkan secara langsung kepada ekuiti jenama yang boleh diukur, kecekapan operasi dan kepercayaan pihak berkepentingan,” katanya.
Pendekatan ‘Inovasi kepada Kesan’ itu meletakkan Malaysia di barisan hadapan sektor tenaga ASEAN, menunjukkan syarikat utama nasional boleh menjajarkan inovasi dengan keutamaan alam sekitar, kemampanan dan tadbir urus (ESG) serta objektif dasar jangka masa panjang.
Mohd Sedek juga berkata pengiktirafan global yang diterima memberikan kelebihan strategik untuk TNB meningkatkan reputasi korporatnya serta kedudukan Malaysia sebagai rakan peralihan tenaga yang boleh dipercayai.
Ini mengukuhkan keyakinan dalam kalangan pihak berkepentingan antarabangsa yang semakin giat menyalurkan modal berdasarkan kelayakan ESG, sekali gus meningkatkan keterlihatan Malaysia sebagai destinasi berisiko rendah dan berpertumbuhan tinggi bagi pelaburan langsung asing.
“ Perkara yang sama penting adalah pencapaian ini mengukuhkan peranan TNB dalam membentuk landskap tenaga bersih ASEAN.
“Berdasarkan permintaan elektrik yang semakin meningkat daripada sektor berintensif tenaga seperti pusat data, dan disokong oleh kebolehpercayaan pelaburan bernilai RM5.2 bilion, TNB berada pada kedudukan yang baik untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi gred pelaburan dan boleh dipercayai secara sistemik,” katanya.
Mohd Sedek berkata menerusi penggunaan platform digital sebaik-baiknya dan pengukuhan jenama strategik, TNB boleh memanfaatkan kepimpinannya dalam pasaran untuk menarik perkongsian jangka masa panjang, melonjakkan aliran modal kepada sektor tenaga bersih Malaysia serta mengukuhkan kredibiliti negara sebagai peneraju serantau dalam pertumbuhan mampan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial