KUANTAN, 3 Sept (Bernama) -- Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengetuai delegasi Malaysia ke Forum Ketua Menteri dan Gabenor (CMGF) Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) yang berlangsung di Trang, Thailand bermula semalam.
Wan Rosdy berkata kepercayaan yang diberikan untuk mengetuai delegasi Malaysia membuktikan Pahang diiktiraf di peringkat ASEAN dan antarabangsa.
Beliau berkata forum berkenaan membolehkan negara berkongsi pandangan, menangani cabaran bersama dan merangka hala tuju masa depan.
“Sejak ditubuhkan pada 1993, IMT-GT telah menjadi platform penting dalam memperkukuh kerjasama serantau, bukan sahaja dalam pembangunan ekonomi, malah juga dalam keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.
Sementara itu, beliau berkata pihaknya turut menekankan kepentingan bidang utama seperti memperkukuh infrastruktur, transformasi digital, pembangunan mampan serta kesalinghubungan rakyat ke rakyat.
“Saya turut menyentuh lima projek pembangunan utama di Pahang iaitu pembangunan berorientasikan transit (TOD) dan pelaksanaan projek pemecut ekonomi (LEAPs) di tujuh stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Gebeng sebagai Taman Perindustrian Halal serantau selain pembangunan industri daging lembu Wagyu dan tenusu," katanya.
Selain itu, Wan Rosdy berkata beliau turut memfokuskan promosi “Visit Pahang” bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026 dan pembangunan Geopark Lipis ke arah pengiktirafan sebagai Geopark Global Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
“Inilah kunci untuk menjadikan rantau kita lebih berdaya saing, inklusif dan makmur. Saya percaya dengan kebijaksanaan serta kerjasama semua pihak, IMT-GT mampu membuka potensi penuh rantau ini demi kesejahteraan rakyat dan generasi akan datang,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial