AM

Tengkolok "Setangan Getam Budu" Diisytihar Warisan Kelantan

04/09/2025 12:11 AM

KOTA BHARU, 3 Sept (Bernama) -- Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra hari ini berkenan mengisytiharkan tengkolok khas "Setangan Getam Budu" sebagai Warisan Kelantan.

Majlis pengisytiharan itu disempurnakan baginda pada majlis perasmian Festival Tekstil dan Warisan Melayu Kelantan 2025 di Istana Balai Besar di sini.

Pegawai Protokol Pejabat Sultan Kelantan merangkap penyelaras festival itu, Mohamed Safaruddin Ismail berkata "Setangan Getam Budu" merupakan pakaian solekan istiadat yang bermula sejak 1925.

“Menariknya, tahun ini genap 100 tahun (Setangan Getam Budu) dan ia masih terus dipakai hingga kini,” katanya.

Sementara itu, perarakan dua ekor gajah dan bunga emas menjadi tarikan utama pada majlis perasmian festival berkenaan.

Program bermula sejak Ahad lepas dan akan berlangsung hingga 10 Sept ini menampilkan pameran pelbagai koleksi tekstil tradisional termasuk tenun, songket, kain pelangi, kain telepuk serta kain kelingkan yang pernah dipakai golongan bangsawan dan diraja.

Selain itu, pelbagai demonstrasi turut diadakan antaranya proses pembuatan kain telepuk menggunakan emas tulen, menenun songket, menghasilkan jebak puyuh serta ukiran barang kemas emas dan perak oleh pengukir tempatan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan