Daripada Harizah Hanim Mohamed
BUSAN, 28 Ogos (Bernama) -- Mesyuarat dua hala Malaysia dengan beberapa anggota Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga (EMM) APEC ke-15 membuahkan hasil di samping saling bertukar maklumat dan meneroka kerjasama masa depan dalam pelbagai bidang tenaga.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata perbincangan telah diadakan dengan New Zealand yang berkongsi kepakaran dalam tenaga geoterma dan pihaknya telah menyatakan minat terhadap regasifikasi gas asli cecair (LNG).
“Kita juga bertemu dengan peserta industri dari Amerika Syarikat dan Korea Selatan yang menawarkan kepakaran dan teknologi masing-masing dalam nuklear serta menunjukkan kesediaan untuk bekerjasama dan menyokong Malaysia.
“Kita perlu mengenal pasti teknologi terbaik, namun kita terbuka untuk bekerjasama dengan semua negara anggota APEC dan menentukan perkara yang sesuai untuk Malaysia bukan sahaja dari segi teknologi malah juga dalam pembangunan modal insan, kepakaran dan perspektif pembiayaan,” katanya kepada pemberita di luar EMM APEC ke-15 di sini, hari ini.
Beliau kini dalam rangka lawatan kerja rasmi di sini sehingga 29 Ogos, sempena EMM APEC ke-15.
Mengenai tenaga nuklear, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata perbincangan turut menyentuh aspek pengurusan sisa.
“Kita bangkitkan isu sama ada pembekal teknologi sanggup mengambil semula sisa ketika membekalkan teknologi itu kepada kita. Bagi negara kecil seperti Malaysia, pengurusan sisa adalah isu yang besar,” katanya.
Malaysia turut mengadakan mesyuarat dua hala dengan beberapa pihak termasuk Setiausaha Alam Sekitar dan Ekologi Hong Kong, China, Chin Wan Tse; Menteri di Jabatan Perdana Menteri Brunei Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Halbi Mohammad Yussof; dan Menteri Perdagangan, Industri dan Ekonomi Korea Selatan, Jung-Kwan Kim.
Dalam mesyuarat dua hala itu perkara merangkumi isu sektor tenaga termasuk kerjasama dalam teknologi hidrogen, pembangunan tenaga nuklear untuk penjanaan elektrik, pengukuhan sambungan serantau berdasarkan Grid Tenaga ASEAN, penukaran sisa kepada tenaga dan inisiatif kecekapan tenaga turut dibincangkan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial