JENAYAH & MAHKAMAH

Butik Kopa Arena Di USM Dipecah Masuk, Rugi Lebih RM200,000

29/08/2025 01:27 AM

GEORGE TOWN, 28 Ogos (Bernama) -- Butik Kopa Arena yang beroperasi di padang Universiti Sains Malaysia (USM) di sini dipecah masuk awal pagi tadi dan mengalami kerugian RM200,000 apabila pelbagai barangan termasuk jersi utama pasukan bola sepak Penang FC dicuri.

Pengurus Kaki Jersi Wilayah Utara Muhammad Mustaffa Al-Bakri Ariffin berkata pengurusan Kopa Arena menyedari kejadian itu selepas mendapat notifikasi aplikasi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di situ.

"Berdasarkan rakaman CCTV, kejadian pecah masuk ke dalam butik Kopa Arena itu dipercayai berlaku kira-kira 5.08 pagi oleh seorang lelaki memakai pakaian baju hujan warna hitam, bertopi keledar penuh,  berkaca mata dan bersarung tangan secara sendirian.

"Dia mengambil stok jersi pasukan bola sepak lebih 100 helai yang kita jual setiap sehelai RM139, kamera dan lensa berharga lebih RM40,000, wang tunai dan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Raptor yang kesemuanya bernilai hampir RM200,000," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata suspek dipercayai memecah masuk ke dalam butik itu dengan menggunakan peralatan yang dibawa dalam poket seluarnya.

Muhammad Mustaffa berkata pacuan empat roda milik penaja itu digunakan sejak empat tahun lepas oleh pengurusan Kopa Arena untuk pelbagai acara dan pertandingan melibatkan bola sepak dan sebagainya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Abdul Rozak Muhammad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

"Kami sedang meneliti rakaman CCTV yang terdapat di butik itu untuk mengesan suspek yang terlibat dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan